SEPERTI yang dijanjikan, Harimau Malaya berjaya memberikan hadiah tahun baharu kepada penyokong selepas Malaysia menumpaskan Singapura 4-1 dengan mudah di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam perlawanan aksi akhir Kumpulan B, Piala AFF itu menyaksikan pasukan di bawah bimbingan Kim Pan-gon seakan-akan membalas dendam selepas tewas di tangan Vietnam pada 27 Disember lalu.
Bagi penyerang berbisa, Darren Lok kekalahan di bumi Hanoi itu telah membakar semangat dan menanam azam untuk memberi persembahan terbaik kepada penyokong.
Darren Lok memecah kebuntuan Malaysia mencari gol selepas meledak jaringan sulung pada minit ke-35. — Bernama
"Walaupun agak bergelut pada separuh masa pertama tapi berjaya memberikan persembahan cemerlang pada separuh masa kedua. Persembahan yang baik dari rakan sepasukan. Kami layak untuk kemenangan ini.
"Saya rasa persembahan kami 'went under the radar' (Tidak bermain seperti yang dirancang). Pada separuh masa pertama lawan Vietnam, kami berikan persaingan tapi mula aksi kedua Vietnam mula tunjukkan kualiti mereka.
"Kekalahan 0-3 itu sememangnya membantu kami berikan persembahan terbaik malam ini untuk ke separuh akhir," katanya kepada Majoriti selepas perlawanan tersebut.
Bagaimanapun, Darren akui perjalanan Harimau Malaya masih jauh dan selepas ini dia dan rakan sepasukan perlu memberi fokus terhadap aksi separuh akhir menentang Thailand pada Sabtu ini.
Antara aksi pemain Harimau Malaya sewaktu meraihkan kejayaan gol dari Stuart. — Facebook/FAM
"Tidak boleh meraikan kejayaan terlalu lama kerana perjalanan masih jauh lagi. Setidak-tidaknya untuk saya, hanya perlu rehat dalam empat hari dan hadapi perlawanan seterusnya,"
Mengulas mengenai perlawanan di laman sendiri dengan kehadiran dan sokongan lebih 60,000 penyokong, penyerang Sabah FC itu memberi mesej kepada Thailand bahawa mereka tidak akan menang mudah ketika bertandang di Malaysia nanti.
"Saya memang nak jaringkan gol tapi saya harap dapat menyumbang sesuatu jika tak ledak gol.
"Tidak kisah siapa jaringkan gol, yang penting pasukan berikan persembahan terbaik. Tapi semestinya saya sedih jika tidak menjaringkan gol sewaktu berjumpa Thailand nanti.
Dalam perlawanan menentang Singapura, bekas penyerang Petaling Jaya (PJ) City FC itu berjaya mencetak jaringan pertamanya dalam kejohanan Piala AFF 2022.
Darren mencetak jaringan pada babak pertama sebelum Malaysia berpesta gol pada separuh masa kedua yang disumbangkan oleh Stuart Wilkin (50',54') dan Sergio Aguero jaringan pada minit-87. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram