TONGGAK naturalisasi negara, Lee Tuck ada rahsia untuk membantu rakan sepasukan mengharungi cabaran getir dalam pertemuan aksi separuh akhir Piala AFF 2022 dengan pasukan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu ini.
Harimau Malaya berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir saingan Piala AFF selepas mencatatkan kemenangan bergaya 4-1 ke atas Singapura pada aksi terakhir Kumpulan B.
Pemain tengah skuad kebangsaan itu berkata, pengalamannya beraksi selama enam tahun di Thailand akan menjadi 'senjata' untuk membantu Harimau Malaya merantai skuad Gajah Perang yang mengungguli carta kumpulan A dengan 10 mata.
Lee Tuck pernah beraksi dalam saingan Liga Thailand selama enam musim. — Agensi
"Saya pernah bermain di Thailand selama enam tahun. Saya kenal ramai pemainnya, jurulatih dan mentaliti pemain lawan.
“Ini akan menjadi perlawanan yang mengujakan memandangkan Malaysia kini adalah pasukan Top 4," katanya kepada Majoriti.
Lee Tuck berkata, dengan prestasi semasa Harimau Malaya, dia yakin skuad negara memiliki kualiti untuk memenangi perlawanan itu nanti.
“Thailand mempunyai jurulatih yang memahami bola sepak dari segi taktikal dan positioning selain gemar untuk membuat analisis pasukan lawan.
"Pemainnya juga kreatif dan mereka ada penyerang yang berpengalaman. Apa yang pasti kita perlu menampilkan prestasi terbaik,” kata Lee Tuck.
Aksi Lee Tuck ketika bersama skuad Sri Pahang FC. — Facebook
Untuk rekod, Lee Tuck pernah beraksi dalam saingan Liga Thailand selama enam musim dengan beberapa pasukan seperti Nakhon Pathom United, Bangkok FC, Air Force Central dan Nakhon Ratchasima.
Di Liga Malaysia, pemain berusia 34 tahun itu pernah menabur khidmatnya selama semusim bersama pasukan Negeri Sembilan FC, iaitu pada 2017 yang mana merupakan kelab tempatan pertama yang disertainya.
Prestasinya di skuad Jang mencuri perhatian Terengganu FC yang tidak menunggu lama untuk membawanya masuk, sekali gus menaikkan reputasinya sebagai antara import terbaik Liga Malaysia.
Kemudian dia berpindah ke Sri Pahang FC pada 2021 tetapi hanya diturunkan pada saingan Piala Malaysia susulan statusnya sebagai import yang sudah melebihi kuota di kelab tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram