Seat SNBJ ‘hilang’ sebab konsert Jay Chou, KBS-PSM bincang isu baki 21,000 tiket semifinal Piala AFF


  • Podium
  • Khamis, 05 Jan 2023

Hannah Yeoh mengadakan satu perbincangan dengan PSM mengenai isu 21,000 tempat duduk di SNBJ. — Bernama

SUSULAN konsert artis terkemuka dari Taiwan yang bakal berlangsung pada 15 Januari nanti, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang berbincang dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengenai isu 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil yang terpaksa dikosongkan bagi aksi separuh akhir pertama Piala AFF pada Sabtu.

Dengan kesemua 59,000 tiket yang dibuka semalam habis dijual dalam tempoh kurang 24 jam secara dalam talian, menterinya, Hannah Yeoh berkata, kedua-dua pihak sentiasa berusaha membantu penyokong tempatan berpeluang menyaksikan perlawanan tersebut.

Skuad Harimau Malaya akan berdepan juara bertahan Thailand pada aksi separuh akhir pertama yang dijadual berlangsung pada pukul 8.30 malam pada hari tersebut.

"Saya telah berbincang dengan PSM mengenai masalah tersebut di mana kita ada pertembungan dua acara besar dalam masa satu minggu ini.

"Kita sentiasa berusaha sebaik dan semampu yang mungkin untuk menaikkan semangat penyokong sukan di Malaysia.

"Setakat ini, kita masih alam perbincangan dan itu sahaja yang saya boleh cakap, apabila sudah sedia kita akan berikan maklumat mengenainya,” katanya.

Terdahulu, beliau dan timbalannya, Adam Adli Abd Halim turut mengadakan lawatan ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi meninjau venue berkenaan dan membincangkan mengenai isu tiket aksi Piala AFF tersebut.

p

Proses pemasangan pentas persembahan konsert Jay Chou dari Taiwan sedang dijalankan di SNBJ. — Facebook

Pada Rabu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional terpaksa dikosongkan kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.

Konsert artis terkemuka dari Taiwan itu akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 15 Januari ini.

Selepas separuh akhir pertama di Bukit Jalil, skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Thailand untuk aksi timbal balik menentang Thailand di Stadium Thammasat, Pathum Thani yang terletak di utara Bangkok, pada 10 Januari.

Malaysia mara ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B dengan sembilan mata, selepas menewaskan Singapura 4-1 pada Selasa dan Vietnam selaku juara kumpulan dengan 10 mata manakala Singapura pula tersingkir apabila menduduki tempat ketiga dengan tujuh mata.

Sekiranya berjaya menjinakkan pasukan Thailand yang merangkul enam gelaran Piala AFF, skuad Harimau Malaya akan bertemu satu lagi pemenang di aksi separuh akhir antara Vietnam dan Indonesia di pentas final pada 13 dan 16 Januari ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram