PENYERANG kebangsaan, Safawi Rasid yang pernah dibelenggu masalah kecergasan berikutan kurang mendapat minit permainan ketika bersama majikan lama, Johor Darul Takzim (JDT) menebus kekecewaan peminat menerusi aksi bertenaga pada aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.
Meskipun tidak berpeluang mencetak nama sebagai penjaring gol setakat ini, Safawi dilihat begitu rajin di atas padang dan sudah melakukan empat bantuan gol kepada rakan sepasukan sepanjang kempen Piala AFF.
Malah pemain yang bakal beraksi dengan kelab Ratchaburi di Thailand itu turut menyatakan rasa puas hati dengan peningkatan persembahan yang dipamernya setakat ini.
Ternyata intensiti dalam latihan yang diterapkan ketua jurulatih, Kim Pan-gon sepanjang kempen Piala AFF termasuk perlawanan persahabatan sejak September tahun lalu, membantu prestasi serta stamina Safawi.
Safawi membuat bantuan gol untuk Darren Lok mencetak gol sulung Harimau Malaya ketika aksi menentang Singapura pada Selasa. — Facebook
"Saya bangga lepas lama tak main, saya dapat pamerkan aksi bertenaga di depan para penyokong.
"Apa yang lebih saya rasa bangga, aura dia (persembahan Harimau Malaya) ini rasa macam vibes pada 2019," katanya kepada pemberita selepas perlawanan antara Malaysia dan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.
Safawi sebelum ini tekad membantu Harimau Malaya menjelmakan semula prestasi cemerlang pada 2019 bagi pusingan kelayakan Piala Asia 2023.
Harimau Malaya ketika di bawah kendalian Tan Cheng Hoe, menampilkan prestasi terbaik mereka pada musim 2019 dengan merekodkan sembilan kemenangan daripada keseluruhan 13 perlawanan termasuk aksi persahabatan dengan empat daripadanya menewaskan pasukan dalam ranking lebih tinggi pada waktu itu.
Pada tahun itu juga, nama pemain sayap sensasi itu meniti di bibir peminat tanah air dengan jaringan serta aksi mantapnya bersama kem kebangsaan.
Darren Lok memecah kebuntuan Malaysia mencari gol selepas meledak jaringan sulung pada minit ke-35. — Bernama
Bahkan Safawi pernah memegang gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) bagi tahun 2019 selepas memenangi buat pertama kali pada tahun berkenaan.
Lebih manis buat pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu turut merangkul anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Popular pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2019.
Pada perlawanan menentang Singapura itu, Harimau Malaya menepati ramalan mara ke peringkat semi final selepas menundukkan Singapura 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF.
Harimau Malaya memperoleh jaringan daripada Darren Lok (minit ke-36), Stuart Wilkin (minit ke-50 dan ke-55) serta Sergio Aguero (minit ke-82). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram