SKUAD Harimau Malaya berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir dengan kemenangan bergaya selepas menewaskan pasukan Singapura dengan mudah di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.
Keputusan perlawanan menyaksikan Malaysia menang dengan jaringan 4-1 pada aksi akhir Kumpulan B, Piala AFF yang sekali gus menyaksikan anak buah Kim Pan-gon berjaya melunas dendam kekalahan dalam aksi persahabatan antarabangsa Siri Tiga-Negara (Persatuan Bola Sepak Singapura) FAS pada Mac 2022.
Darren Lok memecah kebuntuan negara apabila berjaya mencetak jaringan pada babak pertama sebelum Malaysia meneruskan berpesta gol pada separuh masa kedua hasil sumbangan Stuart Wilkin (50',54') dan Sergio Aguero menerusi jaringan pada minit-87.
Malaysia bakal melayan kunjungan pasukan Thailand di SNBJ pada 7 Januari dan seramai 80,000 penyokong dijangka memenuhi stadium dalam perlawanan tersebut.
Malaysia berjaya melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan pasukan Singapura dengan keputusan 4-1 di stadium SNBJ. — Facebook/FAM
Dalam pada itu, saingan separuh akhir timbal balik kedua akan diadakan di Stadium Thammasat, Phatun Thani, Bangkok, yang dikatakan bersaiz lebih kecil berbanding stadium nasional mereka iaitu Stadium Rajamangala.
Keputusan itu dilihat bakal membataskan pergerakan Ultras Malaya dalam memberikan sokongan padu pada skuad negara kerana stadium berkenaan hanya mampu memuatkan 25,000 penonton sahaja.
Tentunya stadium utama Thailand, Stadium Rajamangala lebih sesuai jika dijadikan lokasi perlawanan tersebut kerana boleh memuatkan lebih 55,000 penonton dalam satu masa.
Susulan itu, tiket penyokong Malaysia dijangka sangat terhad kerana pasukan tuan rumah semestinya akan mengutamakan penyokong mereka berbanding pasukan lawan.
Perkara itu dilihat sebagai satu tindakan licik dan perang psikologi yang sengaja dimainkan oleh pengurusan pasukan Thailand yang dikatakan gentar dengan laungan serta sorakan pemain ke-12 Harimau Malaya.
Warganet di Facebook turut mengecam tindakan negara jiran memilih stadium tersebut pada aksi kedua timbal balik pada 10 Januari nanti.
Wan Mohd Azhairi enggan terlampau memikirkan soal perkara itu sebaliknya ingin terus berfikiran positif dan menyokong pasukan negara.
"Kita fikir positif sahaja, bila penonton pasukan tuan rumah tak ramai jadi ia tak akan mengganggu pemain negara, apa-apa pun Sabtu ini Malaysia mesti menang di SNBJ," katanya.
"Siam mesti sengaja nak balas dendam selepas dimalukan pada aksi kelayakan Piala Asia lepas, semoga Harimau Malaya dapat mengambil kesempatan sepenuhnya di stadium negara," ujar Azzam Hidzer.
"Ini taktik Thailand ke? Nampak macam disengajakan je," soal Muhammad Ikmal.
Oleh itu, ribuan penyokong dijangka memenuhi stadium SNBJ Sabtu ini dengan sorakan gemuruh pastinya ditagih pasukan Harimau Malaya sekali gus mendatangkan kegusaran buat pasukan lawan.
Perkara itu diakui sendiri oleh jurulatih skuad Singapura selepas tamat perlawanan semalam apabila menyatakan pemainnya menghadapi kesukaran beraksi di hadapan lebih 65,000 penyokong tuan rumah.
Singapura terlepas tempat ke separuh akhir selepas sekadar menduduki tangga ketiga dengan tujuh mata di belakang Vietnam dan Malaysia masing-masing dengan 10 dan sembilan mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram