STATUS pemain naturalisasi terbaharu, Lee Tuck akhirnya terjawab apabila dia sah menyarung jersi Kedah Darul Aman (KDA) FC pada musim depan.
Meskipun terpalit kontroversi kerana memilih pasukan lain dalam saingan Liga Super 2023 selepas kelab lamanya, Sri Pahang FC berusaha mendapatkan kerakyatan buat Lee Tuck, pemain berusia 34 tahun itu tetap dengan keputusannya merantau ke utara tanah air.
Tonggak Harimau Malaya itu sebelum ini hangat diperkatakan sama ada memilih Terengganu FC atau Kedah untuk destinasi berikutnya, tetapi pengumuman Sang Kenari pada Jumaat menamatkan segala spekulasi.
Pemain kelahiran England dilihat sebagai tambahan terbaik bagi memperkuat perancangan pasukan ketua jurulatih baharu Kedah, Nafuzi Zain musim 2023 selepas kali terakhir di bawah kendalian jurulatih yang sama di Terengganu pada 2019 dan 2021.
Untuk rekod, Lee Tuck sebelum ini pernah menabur khidmatnya selama semusim bersama pasukan Negeri Sembilan, iaitu pada 2017 yang mana merupakan kelab tempatan pertama yang disertainya.
Mempamerkan prestasi memberansangkan, dia kemudiannya disambar Terengganu FC yang tidak menunggu lama untuk membawanya masuk, sekali gus menaikkan reputasinya sebagai antara bintang terbaik Liga Malaysia ketika ini.
Mengulas tentang perpindahan Lee Tuck ke Kedah, bekas ketua jurulatih kelab itu, Ramon Marcote berkata, Lee Tuck sudah membuktikan dirinya di Malaysia dan mampu mengikut rentak mana-mana jurulatih.
"Pengesahan Kedah mendapatkan khidmatnya merupakan 'satu kemenangan'.
"Ini kerana, ketiadaan jeneral dalam skuad Kedah boleh ditampung oleh Lee Tuck," katanya merujuk kepada perpindahan Baddrol Bakhtiar ke Sabah yang sekali gus menyaksikan Sang Kenari kehilangan antara pemain paling berpengaruh dalam skuad itu.
Baddrol merupakan pemain paling berpengaruh di Kedah.
Kelab Sang Kenari ibarat patah sayap dan hilang seri tanpa Baddrol yang bermain untuk pasukan KDA FC sejak tahun 2006.
Sepanjang tempoh beraksi di Kedah, Baddrol melakukan 355 penampilan dan menjaringkan 116 gol daripada posisi pemain tengah.
Menerima jolokan Kapten Marvel, Baddrol juga pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Sedekad sejak 2011 hingga 2020.
Bersama Sabah FC, kapten pasukan itu berjaya mencetak lapan gol peribadi dan empat bantuan gol menerusi 25 penampilan sepanjang musim ini.
Mengulas lanjut, Ramon percaya Lee Tuck mampu mengikisi kekosongan yang ditinggalkan Baddrol untuk mengemudi Kedah ke arah zaman kegemilangan.
"Kekurangan kepimpinan dalam Kedah boleh ditampung oleh Lee Tuck kerana dia sudah menunjukkan kualiti, karakter dan personaliti di TFC.
"Jadi kita berharap dia mampu melakukan perkara yang sama di Kedah," katanya kepada Majoriti.
Selepas perpindahan Baddrol ke Sabah, tugas kapten banyak digalas oleh Syazwan Zainon yang dilepaskan Kedah pada akhir musim ini dan kini tidak mewakili mana-mana kelab.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram