KHABAR angin mengatakan pemain naturalisasi baharu Harimau Malaya, Lee Andrew Tuck ke pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) heboh diperkatakan penyokong bola sepak tempatan.
Lebih mesra dengan panggilan Lee Tuck, mesin Harimau Malaya itu turut dikatakan menjadi rebutan dua lagi kelab Liga Malaysia yang terpaksa 'berlumba' mendapatkan khidmatnya bagi memperkuatkan pasukan menjelang musim depan.
Berhubung khabar angin itu, Lee Tuck tampil membuka mulut mengatakan bahawa penghijrahannya ke kelab lain selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Sri Pahang FC, masih belum dimuktamadkan lagi buat masa ini.
Menurut pemain kelahiran Huddersfield, United Kingdom itu, dia mempunyai beberapa pilihan untuk dipertimbangkan ketika ini dan amat penting buat dirinya membuat keputusan tepat demi masa depan karier bola sepaknya di Liga Malaysia.
Lee Tuck menjaringkan gol ketika aksi bertemu Maldives baru-baru ini. — Facebook
"Buat masa ini belum ada apa-apa keputusan yang dimuktamadkan. Ketika ini, saya mahu fokus kepada Harimau Malaya dan saingan Piala AFF 2022.
"Harapan saya apabila kempen antarabangsa ini tamat, semuanya (perpindahan kelab) akan selesai.
"Ada yang kata saya ke Kedah, ada kata ke Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC, namun ketika ini, ia masih khabar angin," katanya kepada Majoriti.
Tonggak Harimau Malaya itu berkata, dia cukup teruja untuk mengetahui apa yang menunggunya pada musim depan selepas kempen Piala AFF 2022 kali ini melabuhkan tirai.
"Saya ada beberapa pilihan dan ia amat mengujakan saya.
"Saya pun tidak mahu berada dalam situasi yang saya sendiri tidak tahu akan bermain untuk kelab mana. Jadi, penting untuk saya settle down dalam kerjaya bola sepak selepas bergelar naturalisasi," tambahnya.
Ketika ditanya mengenai sambutan Krismas kali ini, Lee Tuck berkata, dia perlu mengenepikan rasa sedih apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga demi menggalas cabaran negara.
"Ini kali pertama saya berjauhan daripada anak-anak dan isteri di Kuantan pada perayaan Krismas.
"Memang sukar tapi ia satu pengorbanan kerana inilah peluang seumur hidup saya mewakili Malaysia.
"Saya lakukan ini demi legasi keluarga saya. Saya perlu berkorban kerana ia (bermain untuk Malaysia) adalah apa yang saya mahukan," katanya.
Untuk rekod, sepanjang empat penampilan bersama Harimau Malaya, Lee Tuck sudah menjaringkan dua gol ketika aksi persahabatan bertemu Kemboja dan Maldives. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram