DESTINASI baharu pemain naturalisasi negara, Lee Andrew Tuck akhirnya terjawab apabila dia diperkenalkan sebagai pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim depan.
Penyertaan pemain kelahiran Halifax, England berusia 34 tahun itu akan memperkuatkan bahagian tengah skuad Sang Kenari yang kini di bawah kendalian Nafuzi Zain.
Bakal menyarungkan jersi bernombor 10, Lee Tuck tidak asing lagi dengan Nafuzi kerana kedua-duanya pernah bekerjasama di Terengganu FC dari 2018 hingga 2020.
Sebelum perpindahan itu disahkan KDA FC, Lee Tuck menerima kecaman hebat daripada penyokong Sri Pahang FC kerana diibaratkan seperti kacang lupakan kulit setelah meninggalkan skuad Tok Gajah yang membantu mendapatkan taraf naturalisasinya pada 31 Ogos lalu.
Lee Tuck sah ke KDA FC di bawah kendalian Nafuzi Zain pada musim depan. — Facebook/ KDA FC
Pemain berketinggian 1.75 meter tersebut dihentam kerana seakan-akan tidak menghargai pihak pengurusan Sri Pahang FC yang berjuang berhabis-habisan dalam menyelesaikan segala isu dihadapinya semasa menyarung jersi pasukan.
Ia termasuk tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM400,000 secara keseluruhan selama dua tahun yang antara lain menyebabkan proses naturalisasi pemain itu memakan masa sangat panjang.
Seolah-olah masih bitter (terasa) dengan tindakan Lee Tuck, ada penyokong yang berpendapat Lee Tuck tidak sesuai bermain di Kedah kerana tagline pasukan Hijau Kuning itu menyentuh mengenai jasa sedangkan pemain itu tidak mengenali ertinya.
"Lee Tuck tak sesuai bermain di Kedah FC sebab tagline Kedah - 'Biar jasa jadi kenangan', sedangkan dia tak tahu apa itu maknanya jasa," tulis Neo Graphic II di ruangan komen Facebook peribadi Lee Tuck.
Hantaran berbentuk 'teaser' dimuat naik menjawab segala spekulasi berhubung kemasukan Lee Tuck ke Kedah. — Facebbok/ KDA FC
Hizam Izani juga sependapat dengan komen tersebut dan mendakwa Lee Tuck tidak mengenang jasa Pahang yang bersusah-payah memperoleh taraf naturalisasi buatnya.
"Susah-susah Pahang naturalisasikan dia, langsung tak kenang budi. Sekurang-kurangnua kekal lah bersama pasukan untuk satu musim lagi," katanya.
Sementara itu, Laman Facebook Hogoh Pahang Hogoh dalam satu kenyataan berkata, pengurusan Kedah harus ada rasa malu menggunakan pemain seperti Lee Tuck terutama jika bertemu dengan pasukan Pahang kelak.
"Jika tawaran yang diterima Lee Tuck lebih rendah berbanding tawaran diminta kepada Pahang, jelas pemain ini licik menipu dan hanya cari alasan untuk keluar dari skuad Pahang.
"Dia bukan menipu kita, dia menipu dan memperlekehkan nilai kepercayaan salah seorang anak raja negeri Pahang.
"Tiada nilai dan kredibiliti sebagai naturalisasi yang menghargai orang yang membantunya," tulis kenyataan itu.
Sumareh adalah pemain yang dinaturalisasikan ketika bersama Pahang sebelum dia berhijrah ke JDT. — Bernama
Tambah Hogoh Pahang Hogoh lagi, jika proses perpindahan itu dilakukan oleh kelab selatan tanah air, Johor Darul Takzim (JDT), ia pasti lebih hangat.
"Naturalisasi = program perosak!! Lebih baik aku dibenci daripada mengampu perkara salah dan pastinya demi melindungi kredibiliti institusi Diraja kita dari diperlekehkan.
"Penasihat tak berani, kita anak jati Pahang berani sebab ini kedaulatan dan maruah kita," tulisnya lagi.
Lee Tuck yang diikat selama setahun bersama skuad Sang Kenari mengisi slot kuota pemain tempatan terakhir pasukan KDA FC musim 2023.
Lee Tuck bukan nama asing apabila mula menempa nama di Liga Malaysia sejak musim 2017 bersama Negeri Sembilan FC seterusnya bersama Terengganu FC yang menjadi kemuncak prestasinya sebagai pemain import. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram