PEMAIN tengah naturalisasi kebangsaan, Lee Tuck kian menjadi sebutan di bibir peminat selepas mempamerkan persembahan bermutu tinggi di saingan Piala AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 yang sedang berlangsung ketika ini.
Selepas mengumumkan perpisahan bersama pasukan Sri Pahang FC, destinasi pemain kelahiran Huddersfield, United Kingdom itu terus menjadi tanda tanya ramai dengan spekulasi kuat mengatakan bahawa beliau bakal berhijrah ke negeri Darul Aman pada musim depan.
Terbaharu, laman Facebook rasmi Kedah FC memuat naik hantaran berbentuk 'teaser' berkenaan kehadiran seorang lagi pemain yang bakal menjadi taruhan skuad Sang Kenari.
Hantaran tersebut seolah-olah memberi bayangan jelas kepada peminat berhubung identiti pemain berkenaan yang dilihat saling tidak tumpah seperti kelibat bekas pemain Pahang tersebut.
Memiliki jambang dan berkulit cerah, nama Lee Tuck kian hangat diperkatakan penyokong dengan rata-ratanya seperti sudah tidak sabar untuk menyaksikan pemain berketinggian 1.75 meter itu beraksi di posisi tengah pasukan Kedah musim depan.
Pemain berusia 34 tahun itu dilihat sebagai prospek terbaik bagi memperkuat perancangan pasukan kendalian Nafuzi Zain musim 2023 selepas kali terakhir di bawah kendalian jurulatih itu adalah ketika di Terengganu pada 2019 dan 2021.
Warganet di Facebook menyambut baik perkhabaran itu dengan kata-kata pujian serta menyambut baik kedatangan pemain itu ke Kedah.
"Mantap, dah memang sah Kedah juara liga super musim depan, selamat datang Messi Kedah," kata Wan Tarmidzi.
"Selamat datang Lee Tuck, akhirnya slot tempatan terakhir pasukan sudah diisi,"ujar Shahrul Nizam.
"Musim depan mesti 'full house' stadium, jenuh nak beli tiket, musim ni dah kena tpi jadu musim depan kasi gegar mesti lagi padu," tambah Naset Shet.
Untuk rekod, Lee Tuck sebelum ini pernah menabur khidmatnya selama semusim bersama pasukan Negeri Sembilan, iaitu pada 2017 yang mana merupakan kelab tempatan pertama yang disertainya.
Mempamerkan prestasi memberansangkan, beliau kemudiannya disambar Terengganu FC yang tidak menunggu lama untuk membawanya masuk, sekali gus menaikkan reputasinya sebagai antara penyerang terbaik Liga Malaysia ketika ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram