PERKHABARAN pemain naturalisasi negara, Lee Andrew Tuck yang akan meninggalkan Sri Pahang FC bukan sahaja hangat diperkatakan malah turut dihujani pelbagai spekulasi serta persoalan dalam kalangan penyokong tempatan.
Lebih mesra dipanggil Lee Tuck, pemain tengah berusia 34 tahun itu dipercayai bakal berhijrah sama ada ke pasukan Kedah ataupun Terengganu pada musim depan namun masih belum ada sebarang kenyataan rasmi dibuat berhubung kemasukan pemain itu setakat ini.
Dalam pada itu, berita peninggalannya turut menerima kecaman ramai susulan ada dakwaan mengatakan punca utama Pahang menamatkan kontrak pemain kelahiran Huddersfield, United Kingdom itu adalah kerana permintaan gaji yang terlampau tinggi.
Difahamkan, kos yang diminta pemain itu terlampau mahal sehingga mencecah ratusan ribu ringgit yang sekali gus mendatangkan pelbagai kesukaran serta masalah kepada pengurusan kelab.
Menurut petikan status salah satu laman penyokong Tok Gajah, permintaan gaji yang dimahukan adalah tidak sejajar dengan prestasi pemain itu pada musim lepas tambahan pula dengan syarat yang diletakkan pemain itu agar segala kos KWSP, PERKESO serta cukai pendapatan perlu dijelaskan oleh pengurusan.
Mengulas lanjut mengenai isu cukai, perkara itu sepatutnya ditanggung sendiri oleh pemain seperti mana yang tertera dalam kontrak dan situasi itu jelas mengecewakan pihak Sri Pahang yang telah berjuang berhabis-habisan dalam menyelesaikan segala isu dihadapi pemain itu semasa menyarung jersi pasukan.
Pemain tengah Lee Tuck dikatakan bakal berhijrah sama ada ke pasukan Kedah ataupun Terengganu pada musim depan. — Instagram/Lee Tuck
Antara masalah dihadapi pemain itu di awal pembabitannya bersama Pahang adalah tidak lain dan tidak bukan, proses naturalisasi yang sangat panjang kerana Lee Tuck difahamkan mempunyai tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM400,000 secara keseluruhan selama dua tahun.
Namun, perkara itu berjaya diselesaikan dengan kepakaran pihak pengurusan yang memiliki keinginan tinggi untuk mendapatkan pemain berketinggian 1.78 meter tersebut ketika itu.
Dalam pada itu, Sri Pahang juga dikhabarkan tidak pernah memotong dan culas dalam pembayaran gaji selama beliau beraksi bersama pasukan tersebut meskipun hanya membuat dua penampilan sahaja pada musim lepas.
Secara keseluruhannya, Lee Tuck dikatakan meminta gaji bersih sekitar RM78,000 sebulan termasuk elaun manakala kos cukai yang perlu ditanggung pengurusan untuk mengekalkan pemain itu pada musim depan pula mencecah RM36,000.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang perlu ditanggung Pahang buat pemain tersebut adalah sekitar RM114,000 sebulan.
Hasil tinjauan Majoriti di laman Facebook mendapati rata-rata peminat cukup kecewa dengan kemahuan pemain terbabit.
Tengku Mohd Irfan berpendapat, pemain itu sememangnya sudah tiada hati untuk mewakili Pahang pada musim depan.
"Dia bukan sengaja mahu letak harga tinggi tetapi memang sudah tak mahu bermain dengan Pahang, saja je dia buat syarat merepek sebab dia tahu pengurusan tak akan mampu tunaikan dan akhirnya melepaskan dia," katanya.
"Pendedahan yang konon nak ceritakan kelemahan pengurusan pasukan, cakap la macam mana sekali pun tapi kalau bab gaji itu hak mereka nak letak berapa, tak sanggup bayar lepaskan je terus," jelas Monk Ey John.
"Memang kacang lupakan kulit, kebanyakan pemain import ni hanya gunakan kelab untuk mendapatkan kerakyatan, bukan baru sekali terjadi isu macam ini," tambah Rizam Omar.
Hujahan peminat sekali gus menggambarkan betapa kecewanya mereka terhadap pemain itu dan ia juga turut dirasai oleh pengurusan pasukan yang telah berhabis wang ringgit bagi mendapatkan pemain itu sebelum ini.
Menurut pemain tersebut, dia mempunyai beberapa pilihan untuk dipertimbangkan ketika ini dan amat penting buat dirinya membuat keputusan tepat demi masa depan karier bola sepaknya di Liga Malaysia.
Namun, setakat ini masih belum ada sebarang keputusan dimuktamadkan dan fokusnya ketika ini tertumpu sepenuhnya kepada skuad Harimau Malaya dalam saingan Piala AFF 2022 yang kini sedang berlangsung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram