Henti salahkan JDT, 'ex player' Harimau Malaya bagi 3 nilai tambah buat anak buah KPG


  • Podium
  • Jumaat, 30 Dis 2022

Skuad kebangsan kini sedang beraksi di Piala AFF Mitsubishi Electric Cup 2022. — Facebook/FAM

SKUAD Harimau Malaya yang beraksi di Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 tahun ini menerima pelbagai kritikan penyokong susulan ketiadaan beberapa pemain berstatus bintang yang disenaraikan pada edisi kali ini.

Situasi itu serba sedikit mengundang rasa kesal dan kegusaran buat peminat tempatan yang dilihat kurang yakin dengan barisan pemain sedia ada.

Punca utama dalam permasalahan ini datangnya daripada tindakan pengurusan kelab Johor Darul Takzim (JDT) yang tidak melepaskan beberapa tonggak utama pasukan itu untuk mewakili skuad kebangsaan.

Meskipun pemain JDT antara senarai terawal yang dimahukan jurulatih Kim Pan-gon, segala taktikal dan perancangan barisan kejurulatihan kebangsaan terpaksa ditukar selepas hampir 11 pemain dari kelab itu menarik diri dengan pelbagai alasan tidak munasabah.

Antara faktor utama pemain tidak mendapat pelepasan kelab adalah kerana Piala AFF berlangsung di luar kalendar FIFA dan ia selaras dengan Peraturan Status Perpindahan Pemain FIFA di mana kelab tidak wajib untuk melepaskan pemain di luar jendela antarabangsa.

arif

Arif Aiman antara pemain yang tidak mendapat pelepasan daripada pengurusan kelab JDT. — Facebook/Johor Southern Tigers

Namun, jika dilihat dari sudut positif, terdapat beberapa nilai ataupun mesej tersirat yang cuba disampaikan oleh pengurusan JDT buat skuad kebangsaan pada Piala AFF musim ini.

Tidak dinafikan bahawa kehadiran pemain Johor sememangnya memberikan impak besar dan positif pada skuad negara apabila berjaya melakar sejarah mara ke Piala Asia secara merit buat kali pertama dalam tempoh 42 tahun pada Jun lalu.

Akan tetapi, kejayaan itu turut disulami dengan kerisauan penyokong terhadap nasib Harimau Malaya jika beraksi tanpa pemain JDT dan ada pihak turut berpendapat bahawa situasi sekarang merupakan tambah nilai buat pasukan negara pada masa akan datang.

Menurut seorang pengguna Facebook yang mendakwa dia merupakan bekas pemain bola sepak Negeri Johor dan Malaysia sekitar tahun 1994 hingga 1998, Shareyah Sulaiman menganggap tindakan JDT tidak melepaskan pemainnya untuk beraksi di Piala AFF merupakan satu keputusan yang tepat.

"Cuba kalian buka minda kalian, kan bagus kalau kita bagi pemain-pemain lain beraksi di AFF sekurang-kurangnya boleh lihat di mana perlu diperbaiki dan ditekankan.

"Kalau asyik pemain JDT sahaja yang beraksi bila kita nak tengok pemain pasukan lain pula, bila kita dah lihat baru la boleh bawa pemain-pemain ini ke peringkat lebih tinggi lagi.

"Korang (anda semua) kena tengok bola sepak wanita kita dah sampai ke FIFA dah tapi bola sepak lelaki? Sebab itu la Johor ada gelanggang serta kemudahan sendiri yang boleh digunakan pemain negara untuk jadi lebih kuat," katanya di laman Facebook.

Selain itu, Shareyah turut menjelaskan beberapa nilai positif yang boleh diperoleh berhubung ketiadaan pemain JDT dalam skuad negara.

1. Pendedahan buat pemain pasukan lain

Ketiadaan beberapa tonggak JDT memberikan peluang buat muka-muka baharu disenaraikan Pan Gon pada kali ini.

Antara pemain yang kali pertama beraksi bersama pasukan negara adalah Nur Shamie Iszuan, Haqimi Azim, Rahadiazli Rahalim dan termasuk pemain naturalisasi kebangsaan, Lee Tuck dan Sergio Fabian Aguero.

Situasi ini dilihat merupakan medan terbaik buat pemain lain untuk menonjolkan kelebihan serta bakat terpendam dimiliki selain ia juga dapat melahirkan lebih ramai pemain berstatus bintang di masa akan datang.

2. Pembakar semangat kelab lain untuk bersaing

Beberapa pasukan lain dilihat sudah mula mempertaruhkan pemain muda bagi menghadapi saingan liga super musim depan.

Ia juga diyakini mampu menyumbang kepada kualiti skuad kebangsaan pada satu hari nanti dengan bakat pelapis muda yang mampu beraksi lebih lama untuk pada masa akan datang.

Bukan sahaja JDT, malah beberapa pasukan lain dipercayai turut mampu menyaingi kemajuan yang dimiliki pasukan itu dengan pelbagai fasiliti serta penambahbaikan stadium untuk kejohanan yang lebih besar.

3. Pengkhususan pengurusan kelab dan FAM

Pengurusan bola sepak di Malaysia sepatutnya lebih bersifat terbuka untuk tidak campur urusan percaturan serta persembahan pemain.

Adalah menjadi tanggungjawab pengurusan kelab itu sendiri untuk mengembangkan lagi bakat serta kebolehan pemainnya untuk masa akan datang dengan segala latihan ataupun pendedahan yang diberikan dipercayai mampu membuahkan hasil.

Pihak FAM perlu lebih peka dengan semua bakat yang sedia ada dan bukan hanya bersandarkan kepada sebuah kelab sahaja untuk disenaraikan sebagai pemain kebangsaan.

Kesimpulannya, mungkin ada kebaikannya yang dapat diperoleh skuad kebangsaan sekiranya kelab JDT lebih 'berkira' dalam soal pelepasan pemain mereka.

Buktinya, Malaysia kini dibarisi oleh beberapa muka baharu yang kian serasi bersama pemain sedia ada dan dengan segala pengalaman serta taktikal diterapkan jurulatih, penyokong optimis Harimau Malaya mampu menjuarai Piala Piala AFF Mitsubishi Electric 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram