Pertembungan 2 'coach Kpop' buru kemenangan aksi Malaysia-Vietnam


  • Podium
  • Isnin, 26 Dis 2022

Pan-gon (kanan) dan Hang Seo bersua muka di Hanoi sempena saingan Piala AFF 2022. — Facebook /FAM

ADAKAH sentuhan ‘magis’ pengendali skuad kebangsaan Kim Pan-gon akan berterusan sekali gus membantu Malaysia merentap ego Vietnam di gelanggang keramat mereka di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam pada Selasa?

Rekod pertemuan cemerlang yang berpihak Vietnam menjadikan persoalan itu sukar dijawab tatkala debaran pertembungan kedua-dua pasukan yang bakal membuat perhitungan pada perlawanan penting Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, kian terasa.

Perlawanan tersebut merupakan pertemuan pertama Pan-gon dan Park Hang Seo, kedua-duanya dari Korea Selatan, selepas pengendali berpengalaman itu dilantik membimbing pasukan negara awal tahun ini.

Selepas mengatasi Myanmar 1-0 dan Laos 5-0 pada dua aksi pertama, skuad Harimau Malaya memburu kemenangan ketiga berturut-turut atau sekurang-kurangnya mengekalkan rekod tanpa kalah dengan meraih keputusan seri, sekali gus berpeluang cerah layak ke peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, Vietnam bukan calang-calang pasukan selepas segala usaha Malaysia dalam tempoh hampir sedekad meraih kemenangan berdepan mereka menemui jalan buntu dan menyaksikan badi tanpa kemenangan sejak 2014 belum berjaya ditamatkan.

Tempoh lapan tahun kebelakangan menyaksikan skuad Harimau Malaya belum berjaya menumpaskan skuad ‘Golden Star Warriors’ dalam semua pertandingan - kalah enam dan seri sekali. Kali terakhir Malaysia menang ialah pada separuh akhir kedua Piala AFF 2014 dengan keputusan 4-2.

Berdasarkan ranking dunia semasa, Vietnam yang juga juara dua kali Piala AFF pada 2008 dan 2018, berada jauh lebih baik di posisi ke-96 sementara Malaysia yang muncul juara pada 2010, di kedudukan ke-145.

322346840_942234183433027_6085384438124074790_n

Pan-gon (kanan) dan Faisal Halim ketika sidang media praperlawanan antara Malaysia dan Vietnam sempena saingan Piala AFF 2022. — Facebook /FAM

Di atas kertas Vietnam merupakan pasukan pilihan apatah lagi skuad bimbingan Hang Seo itu mempunyai masa rehat yang lebih panjang berbanding Malaysia yang terpaksa mengharungi tiga aksi termasuk dua perlawanan di tempat lawan dalam masa tujuh hari.

Hang Seo juga menyenaraikan ramai pemain popular dan penting di kedua-dua bahagian pertahanan serta serangan, selain turut menggunakan khidmat pemain muda berpotensi.

Antara pemain yang terkenal ialah tonggak pemain pertahanan Que Ngoc Hai selain trio bahagian tengah dipimpin ketua pasukan Do Hung Dung, Nguyen Hoang Duc dan pemain sensasi Nguyen Quang Hai yang meledak dua jaringan dalam tiga pertemuan terakhir menentang Malaysia.

Selain itu, gandingan penyerang Nguyen Van Quyet dan Pham Tuan Hai juga perlu diberi perhatian kerana keupayaan mereka mengucar-kacirkan benteng pertahanan negara untuk membuka ruang buat rakan sepasukan mencipta jaringan.

321975596_555579509464721_7742823915190626342_n

Malaysia melakar kemenangan 5-0 ke atas Laos. — Facebook/ FAM

Meskipun begitu, keupayaan pasukan negara di bawah bimbingan Pan-gon tidak boleh dipandang rendah terutama apabila berjaya mengatasi Myanmar pada aksi pembukaan di Yangon, Rabu lepas sekali gus menamatkan badi tanpa kemenangan sejak 2016.

Prestasi cemerlang pemain sayap, Mohamad Faisal Halim yang meledak keseluruhan tiga gol untuk muncul penjaring terbanyak bersama kejohanan setakat ini, menjadi sandaran utama pasukan negara.

Selain itu, skuad bimbingan Pan-gon juga mempunyai kelebihan untuk menerapkan permainan fizikal menerusi dua tonggak naturalisasi Lee Tuck dan Sergio Aguero yang berjaya meledak gol pertama bersama skuad kebangsaan dalam kejayaan membelasah Laos di Stadium Nasional, di Bukit Jalil, Sabtu lepas.

Untuk rekod, selepas dua perlawanan, Malaysia mendahului saingan kumpulan dengan mengumpul enam mata, Vietnam dan Singapura yang baru beraksi sekali masing-masing berkongsi tiga mata di posisi kedua dan ketiga, manakala Myanmar dan Laos di kedudukan dua tercorot tanpa mata.

Justeru, kemenangan dengan Vietnam akan mengesahkan kemaraan Malaysia ke separuh akhir dan menebus kekecewaan terkandas awal pada edisi lepas, sementara keputusan seri dapat mengurangkan tekanan pasukan yang dijadual menerima kunjungan Singapura di Stadium Nasional pada aksi terakhir 3 Januari ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram