‘Siuuuu Faisal Halim’, ‘mesin’ Harimau Malaya lenyekkan Laos


  • Podium
  • Sabtu, 24 Dis 2022

Pemain Harimau Malaya termasuk Faisal (tengah) raikan kemenangan menewaskan Laos 5-0 dalam aksi Piala AFF 2022 pada Sabtu. — FAM

SKUAD Harimau Malaya menepati ramalan ramai dengan mencatatkan kemenangan 5-0 ketika aksi kedua Kumpulan B Piala AFF menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Meskipun bergelut pada separuh masa pertama, skuad kebangsaan terlebih dulu berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan Sergio Aguero seawal minit ke-29.

Namun, memasuki babak kedua permainan, anak-anak buah Kim Pan-gon mula membuktikan sentuhan mereka dengan menguasai permainan yang dikawal baik pengadil, Majed Al Shamrani.

Ini termasuk menjaringkan dua gol menerusi pemain sayap sensasi, Faisal Halim termasuk tandukan menarik pada minit ke-65 dan 68.

Seumpama 'mesin' atas padang, persembahan dan larian bertenaga Faisal mengkucar-kacirkan benteng pertahanan Laos selain gaya ikonik meraikan jaringannya seperti Cristiano Ronaldo juga disambut jeritan 'Siuuuu' oleh gegak gempita penyokong di stadium.

mickeyyy

Faisal (kiri) meraikan jaringan 'Siuuu' ala Ronaldo bersama Lee Tuck. — FAM

Dua lagi jaringan Harimau Malaya dihasilkan oleh penyerang berusia 19 tahun, Hakimi Azim Rosli yang membuat debut pertama bersama skuad kebangsaan pada minit ke-77 sebelum Stuart Wilkin melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah 10 minit sebelum masa sebenar perlawanan tamat.

Selepas ini, Harimau Malaya bakal berdepan tugas getir berdepan Vietnam di tempat lawan pada Selasa. Atas kertas, tugas berdepan Vietnam bukannya mudah memandangkan lawan berehat tanpa aksi pada Sabtu sementara ini merupakan aksi ketiga anak-anak buah Pan-gon dalam tempoh sembilan hari.

Satu lagi aksi Kumpulan B pada Sabtu menyaksikan Singapura menang tipis 3-2 ke atas Myanmar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram