'Pulangkan hak saya', mesej Faisal Halim cetus tanda tanya


  • Podium
  • Jumaat, 23 Dis 2022

Faisal merupakan antara tonggak utama yang berjaya membantu Terengganu mara ke pentas Piala AFC musim 2023.

DALAM kesibukan Faisal Halim menjadi tonggak utama buat Harimau Malaya dalam kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022, terselit berita pengumumannya sebagai pemain terbaru Selangor untuk musim 2023/2024.

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dalam kenyataan pada Khamis melalui portal rasminya memaklumkan Faisal Halim merupakan pemain terbaharu ketiga dipilih menyertai skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu selepas bintang Negeri Sembilan, Khuzaimi Piee dan tonggak pertahanan skuad Petaling Jaya City FC, V. Ruventhiran.

Menerusi kenyataan FAS, Faisal berkata, mahu menjadi watak penting dalam pasukan merah kuning, selain memberikan yang terbaik bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan tersebut.

Desas-desus kehadiran bekas pemain sayap Terengganu FC (TFC) itu ke skuad Gergasi Merah bukanlah rahsia berikutan khabar angin mengenai perpindahan Faisal sudah mulai didengari sejak beberapa bulan yang lepas.

Faisal Sel

Faisal akan membantu memperkukuh jentera Selangor FC pada musim depan.

Pemain berusia 24 tahun itu merupakan antara tonggak utama skuad Penyu di bawah kendalian Nafuzi Zain yang turut berjaya membantu Terengganu mara ke pentas Piala AFC musim 2023.

Meskipun, hubungan pemain kelahiran Pulau Pinang sudah terlerai bersama TFC namun masih ada perkara yang sepertinya belum selesai antara Faisal dan pihak pengurusan.

Isu berkenaan mulai timbul apabila Faisal membuat ciapan di laman Twitter miliknya pada Jumaat dengan menggunakan tanda pagar 'Pulangkan Hak Saya'.

"Kita diam orang ingat kita tiada masalah. Bila kita bunyi orang kata kita tak pro, pulangkan hak saya. Mana boleh ambil hak orang tanpa beri tahu apa-apa. Ikut akta mana ya, jangan kita diam kita tak kisah. Dalam kontrak pun tiada benda itu, guna kuasa mana ya, #pulangkanhaksaya," tulisnya.

Bukan itu sahaja, sebelum Faisal menulis luahan tersebut, dia juga sempat menitip mesej buat rakannya di Terengganu iaitu tonggak pertahanan, Adib Zainudin.

"Good luck lah ye di Terengganu itu, jaga dan hati-hati," pesan Faisal kepada Adib sambil membalas komen pemain berusia 27 tahun itu.

Terdahulu, penyerang Terengganu FC itu turut bersuara dan bertindak membela nasib ketua jurulatih, Nafuzi itu yang berpendapat tindakan pihak pengurusan adalah terlalu lewat.

Akibat tindakan pihak pengurusan itu, Nafuzi menolak tawaran lanjutan kontrak dan memilih Kedah Darul Aman sebagai karier kejurulatihan seterusnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram