PENGENDALI Laos, Michael Weiss mengakui skuad Harimau Malaya (HM) tanpa pemain Johor Darul Takzim (JDT) tetap menjadi pasukan yang perlu diberi perhatian dalam saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.
"Walaupun anda terlepas semua pemain Johor JDT namun kebanyakan pemain dalam skuad HM memiliki kepantasan yang baik.
"Beberapa pemain mereka juga hebat menggelecek bola sekali gus memberi ancaman kepada pasukan Laos dalam perlawanan kedua Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada Sabtu," katanya dalam sidang media pra-perlawanan Piala AFF Mitsubishi Electric pada Jumaat.
Tambah Michael lagi, walaupun tanpa bintang JDT tetapi pasukan itu masih dapat diisi dengan pemain seperti ini, ia membuktikan kepada liga bahawa profesionalisme dan pembangunan pemain bermula daripada remaja hingga ke atas.
"Kini Malaysia menjadi pesaing yang semakin jelas untuk merebut gelaran tersebut, saya berpendapat mereka pasukan yang berkualiti,” katanya.
Jurulatih kelahiran Jerman itu turut membayangkan pasukannya mungkin memilih untuk bermain secara bertahan ketika berdepan anak buah Kim Pan-gon, selepas kalah teruk 0-6 kepada juara dua kali, Vietnam dalam perlawanan pembukaan kumpulan itu, Rabu lepas.
"Secara keseluruhan, kami perlu memiliki pertahanan yang padu, ketat dan tidak membiarkan lawan menguasai sepenuhnya perlawanan. Diharapkan kami dapat menghasilkan gol lebih awal kerana apabila lawan sudah dapat rentaknya, ia akan menjadi sukar.
"Jadi, secara umumnya itu adalah pendekatan kami sebagai pasukan bukan pilihan,” kata jurulatih berusia 57 tahun itu yang turut mengakui beberapa pemain mungkin tidak dapat diturunkan menentang Malaysia kerana cedera.
Sementara itu, pemain tengah Phithack Kongmathilath menyifatkan perlawanan esok sangat penting dan berjanji akan memberikan yang terbaik dalam usaha mencuri tiga mata menentang Harimau Malaya.
Malaysia memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menang tipis 1-0 ke atas Myanmar di Stadium Thuwunna di Yangon, Rabu lepas.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Singapura akan menjadi tuan rumah menentang Myanmar di Stadium Jalan Besar, Singapura. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram