Selepas perkuat barisan pertahanan, 3 'strikers' jadi impian ke Sabah FC


  • Podium
  • Jumaat, 23 Dis 2022

Sabah FC dilihat membuat rombakan secara besar-besaran susulan kemasukan beberapa pemain yang bakal mewakili pasukan itu pada musim depan. — Bernama

MENJELANG saingan Liga Super yang bakal bermula tidak lama lagi, kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) begitu rancak mempersiapkan pasukan masing-masing dan tumpuan peminat semestinya terarah kepada pertukaran pemain berkualiti yang mampu memberikan impak positif kepada pasukan.

Sabah FC merupakan antara pasukan terawal yang sudah mengumumkan beberapa kemasukan pemain baharu pada musim depan.

Bakal mengiringi pasukan Johor Darul Takzim (JDT) ke Piala AFC 2023, bekas jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dilihat sedang giat membuat persiapan rapi dari segi barisan pemain yang bakal disenaraikan.

Kali terakhir Sabah beraksi di pentas Asia ialah pada tahun 1995 yang ketika itu dikenali sebagai Asian Cup Winners’ Cup anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Namun, Sabah dikatakan bakal tampil dengan skuad yang lebih mantap pada musim depan untuk memberi saingan di pentas Asia sekali gus berupaya mengharumkan nama negara seperti mana dilakukan oleh pasukan KL City pada tahun lepas.

Terbaharu, Sabah mengumumkan dua nama yang bakal menyarung jersi pasukan itu dengan sambungan kontrak Dominic Tan dan kemasukan pemain pertahanan Selangor, R. Dinesh.

Berita itu disahkan sendiri selepas Sabah FC berkongsi perkhabaran itu di laman media sosial mereka yang rata-ratanya diterima baik oleh peminat setia pasukan itu.

R. Dinesh yang sebelum ini mewakili pasukan Selangor FC, dikatakan akan memperkuat barisan benteng pertahanan pasukan selepas dijangka digandingkan dengan tiga trio sensasi iaitu Irfan Zakaria, Dominic Tan dan Daniel Ting.

Meskipun tidak beraksi dalam mana-mana perlawanan pada musim lepas akibat kecederaan ACL, pemain muda berusia 24 tahun itu dipercayai bakal menyinar di Sabah selepas difahamkan sudah pulih daripada kecederaannya.

Memetik laporan media, Ketua Jabatan Sains Sukan Selangor FC, Dr. Hazwan mengesahkan R. Dinesh telah memberikan komitmen yang sangat baik sepanjang proses pemulihan dijalankan dan pemain itu sudah mula menjalankan latihan secara individual di padang sejak Januari lalu.

dii

R. Dinesh tidak beraksi dalam mana-mana perlawanan pada musim lepas susulan kecederaan ACL dialaminya. — Selangor FC

Dalam pada itu, tumpuan peminat dilihat terarah kepada barisan penyerang pula selepas pemain pertahanan dikatakan sudah cukup mantap untuk memberi saingan pada musim depan.

Malah penyokong Sabah tidak segan memasang impian untuk mendapatkan tiga penyerang sensasi kebangsaan iaitu Safawi Rashid, Mohamadou Sumareh dan Syafiq Ahmad.

Safawi dipinjamkan JDT ke kelab Thailand manakala Sumareh dan Syafiq masih dalam perancangan Harimau Selatan walaupun berdepan saingan sengit untuk merebut tempat.

Pemilihan pemain itu dilihat berdasarkan kebolehan serta pengalaman luas mereka beraksi di peringkat tertinggi Asia apabila mewakili JDT di Piala AFC dan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Mohd Afiq Abdullah Mohmdafiq berkongsi impiannya untuk mendapatkan tiga pemain tersebut beraksi bersama Sabah pada musim depan.

"Kalau boleh Syafiq Ahmad, Safawi Rashid dan Sumareh mewakili Sabah sebab ketiga-tiga pemain itu sudah merasa di pentas tertinggi AFC dan ACL," katanya di ruangan komen.

Untuk rekod, pemain tersebut sememangnya merupakan nadi barisan serangan pasukan JDT selepas ketiga-tiganya mempunyai rekod baik sepanjang beraksi bersama pasukan Harimau Selatan.

Meskipun terpalit dengan beberapa isu kontroversi yang sedikit sebanyak merencatkan karier mereka sebagai pemain bola, persembahan mereka sentiasa ditagih peminat kebangsaan terutamanya ketika beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Maka tidak hairanlah jika ada peminat yang mahukan barisan serangan skuad Sang Badak diwakili tiga pemain itu pada musim depan.

Mungkin ia dilihat sebagai satu perkara yang pelik dari kaca mata ramai, namun berdasarkan revolusi dan percaturan Datuk Ong Kim Swee sepanjang bergelar jurulatih pasukan itu, ia bukanlah mustahil dan mungkin bakal menjadi kenyataan jika pengurusan kelab diberikan lebih masa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram