KETIKA mata penyokong tertumpu pada prestasi skuad kebangsaan ketika kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 yang sedang berlangsung, tiba-tiba terselit kenyataan hangat tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim.
Kenyataan pedas di laman sosial yang dikeluarkan oleh bekas pemain sayap Terengganu FC (TFC) itu pada Jumaat mencuri tumpuan penyokong bola sepak tanah air sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya.
Ini kerana, Faisal yang mesra dengan panggilan Mickey menulis ciapan di laman Twitter miliknya, yang mana dia menggesa agar individu atau sebuah organisasi untuk memulangkan haknya sebagai seorang pemain profesional dan ia seakan-akan dituju kepada majikannya sebelum ini, TFC.
Dengan menggunakan tanda pagar #PulangkanHakSaya itu, Faisal menyedari berkemungkinan tindakannya itu dilihat seperti tidak profesional tetapi pemain berusia 24 tahun itu tidak mahu haknya hilang begitu sahaja.
Bagaimanapun, tidak semua pihak termasuk pemain ke-12 skuad Penyu menyokong tindakannya itu, malah ada di antara mereka berasa Faisal seperti tidak 'move on' daripada TFC selain tidak mengenang jasa pihak pengurusan.
Jika benar Faisal menujukan perkara itu kepada TFC, ia bukanlah kali pertama berikutan sebelum ini terdapat juga pemain lain mempunyai perkara yang tidak selesai dengan pihak pengurusan selepas jodoh 'terlerai' antara mereka.
Sama ada kelab ataupun pemain itu yang bermasalah, hanya pihak terbabit mengetahui perkara sebenar, namun sebagai penyokong perlulah mendoakan agar isu tersebut selesai dengan cara baik.
Berikut merupakan tiga pemain lain yang dilihat seakan-akan 'meroyan' kepada bekas majikan ataupun kelabnya selepas meninggalkan pasukan;
1) Jasmir Mehat (Kelantan FC)
Hantaran yang dimuat naik oleh Jasmir. — Instagram/Jasmir
Jika Faisal menggunakan tanda pagar #PulangkanHakSaya, pemain Kelantan FC, Jasmir Mehat pula menggunakan #YTJT (yang tahu je tahu) yang mana penyokong beranggapan ia ditujukan kepada pihak pengurusan.
Tanda pagar itu timbul selepas Jasmir diumumkan tidak berada dalam senarai pemain skua The Red Warrios (TRW) musim 2023 dan hantarannya di laman Instagram itu seperti dia teraniaya dengan keputusan tersebut.
Bukan sahaja tanda pagar #YTJT, malah pemain berusia 28 tahun itu juga menggunakan #DoaOrangTeraniayaSentiasaTerjawab, yang mana secara tidak langsung menambahkan lagi persoalan penyokong mengenai pasukan pantai timur tersebut.
Selain Jasmir, rakan sepasukannya itu bekas pertahanan negara, Zubir Azmi lain turut menggunakan tanda pagar #YTJT dan pemain tersebut turut tidak berada dalam perancangan Kelantan pada musim depan.
Ramai penyokong beranggapan bahawa isu tersebut berkaitan dengan gaji, bagaimanapun laman Facebook rasmi Kelantan FC menegaskan bahawa perkara tersebut sudah dilunaskan kepada kesemua pemain.
"Pihak pengurusan tertinggi Kelantan Football Club juga telah menyelesaikan tanggungjawab kepada para pemain tersebut termasuk pembayaran gaji terakhir mereka. Terima kasih atas sokongan anda semua pada pasukan TRW. Teruskan beri sokongan dan mendoakan seoga dipermudahkan gerak kerja skuad The Red Warriors," tulis TRW.
2) Azmeer Yusof
Azmeer mengumumkan persaraannya dari bola sepak profesional pada usia 30 tahun. — Instagram/Azmeer
Selepas hampir empat tahun bersara dari dunia bola sepak profesional, Azmeer Yusof tampil mendedahkan pengalaman pahitnya bersama pasukan sebelum ini mengenai tawaran lanjutan kontrak.
Sebelum ini, seorang pemilik akaun Facebook, Zulkifli Ghazali mendedahkan bahawa terdapat seorang pemilik kelab yang melepaskan pemain saat-saat akhir namun identiti pasukan tersebut tidak didedahkannya.
Terpanggil berkongsi pengalaman yang sama, bekas pemain Kedah dan BRM FC, Azmeer Yusof menceritakan apa yang terjadi kepada beliau ketika beraksi dengan sebuah pasukan.
“Kisah saya lagi sedih cikgu. Main bagai nak rak, first eleven berpuluh game, final 2-3 kali, penghujungnya kena buang. Yang simpanan dari bulan lapan dah sign kontrak baru. Siap gaji naik lagi,” kongsi Azmeer.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan pasukan manakah yang dimaksudkan Azmeer namun dia menegaskan bahawa budaya memberi tawaran saat akhir kepada pemain sepatutnya tidak berlaku dalam bola sepak profesional.
Pemain berusia 32 tahun itu sebelum ini pernah menabur bakti kepada pasukan Kedah FA, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Perak.
2) Safawi Rasid (Johor Darul Takzim)
Safawi dipinjamkan selama satu musim ke Ratchaburi FC. — Instagram/Safawi
Lain pula cerita dengan pemain Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid yang dipinjamkan ke pasukan Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC pada musim depan kerana minit permainan telah membawa kontroversi kepadanya.
Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu mengeluarkan kenyataan antara sebab dia membuat keputusan untuk berkelana di negara jiran adalah kerana tidak mahu lagi memanaskan bangku simpanan.
Tonggak berusia 25 tahun itu menegaskan langkah itu adalah untuk membolehkannya mendapat lebih banyak minit permainan berikutan di JDT dia terpaksa bersaing bersama pemain lain.
Safawi juga menyatakan bahawa dia bakal mencari kelab lain selepas tempoh pinjamannya dengan kelab Thailand itu tamat, sekali gus menyaksikan kenyataannya itu membangkitkan kemarahan peminat setia JDT.
Kenyataan Safawi itu turut dibidas oleh Pengarah Teknikal skuad Harimau Selatan, Hector Bidoglio berkata, pemain hanya boleh menyalahkan diri sendiri sekiranya gagal mempamerkan keinginan dan meningkatkan mutu permainan setelah kelab menyediakan yang terbaik untuk pemain daripada kebajikan sehinggalah ke fasiliti latihan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram