'Langit tak selalu indah', Legenda Terengganu tinggal pesanan buat Faisal Halim


  • Podium
  • Sabtu, 24 Dis 2022

Faisal meluahkan sesuatu yang seperti dituju kepada pihak pengurusan TFC dengan menggunakan tanda pagar 'Pulangkan Hak Saya'. — Facebook/TFC

NAMA pemain sayap lincah, Faisal Halim menjadi bahan bualan penyokong bola sepak negara apabila dilihat seolah-olah urusannya dengan bekas majikan, Terengganu FC (TFC) masih belum selesai.

Perkara itu mulai timbul apabila pemain berusia 24 tahun itu yang sendiri itu membuat ciapan di laman Twitter miliknya pada Jumaat lalu dengan menggunakan tanda pagar 'Pulangkan Hak Saya'.

Pemain yang mesra dengan jolokan Mickey itu dilihat membuat ciapan seperti menujukan kepada pihak pengurusan skuad Penyu yang mana dia seperti ingin menegakkan haknya sebagai seorang bekas pemain pasukan tersebut.

"Kita diam orang ingat kita tiada masalah. Bila kita bunyi orang kata kita tak pro, pulangkan hak saya. Mana boleh ambil hak orang tanpa beri tahu apa-apa. Ikut akta mana ya, jangan kita diam kita tak kisah.

"Dalam kontrak pun tiada benda itu, guna kuasa mana ya? #pulangkanhaksaya," tulisnya.

Faisal turut sempat menjelaskan bahawa dia tidak mempunyai apa-apa masalah ataupun dendam dengan penyokong TFC namun hanya meminta pemain ke-12 bersabar dan menunggu kebenaran.

"Saya tiada apa-apa masalah dengan penyokong malah saya sentiasa merindui mereka. Kita tunggu siapa yang benar," jelasnya.

Ciapan yang dimuat naik oleh pemain kelahiran Pulau Pinang itu bukan sahaja menarik perhatian penyokong, malah turut menyebabkan bekas pemain Terengganu, Joseph Kalang Tie menitipkan pesanan buat Faisal.

WhatsApp Image 2022-12-24 at 14.08.20

Joseph memberi pesanan kepada Faisal agar mengambil tindakan sewajarnya demi kariernya. — Facebook/MFL

Pemain yang kini beraksi bersama Kuching City itu memahami apa yang ingin diperjuangkan Faisal namun Joseph turut berpesan untuk sentiasa fokus kepada kerjaya bola sepaknya

“Mickey perlu ingat, langit tak selalu indah, syukur dengan apa yang kita ada.”

“Pesan Joe (Joseph), selesaikan dengan cara yang baik dan ikut saluran yang betul. Satu hari bila orang tak perlukan kita baru kita sedar. Jom Mickey, fokus dengan kerjaya anda, anda ada bakat. Sayang dengan bakat yang ada," pesannya pada laman penyokong skuad Penyu, Bola Sepak Terengganu.

Pemain berusia 35 tahun itu sebelum ini pernah menabur bakti bersama Terengganu pada musim 2015-2016 dan juga ketika tahun 2008 sehingga 2011 iaitu ketika di bawah bimbingan Irfan Bakti.

Terdahulu, selepas digugurkan dari senarai pemain TFC pada musim depan, Selangor dengan pantasnya mengumumkan Faisal sebagai pemain baharunya bagi memperkuatkan lagi jentera serangan pasukan dalam menghadapi saingan 2023.

Untuk rekod, tonggak Harimau Malaya itu adalah pemain skuad kebangsaan ketiga yang dibawa masuk Selangor selepas merekrut V Ruventhiran (Petaling Jaya City FC) dan Ahmad Khuzaimi Piee dari Negeri Sembilan FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram