Harimau Malaya perlu elak 'penyakit bahaya' berdepan Laos


  • Podium
  • Jumaat, 23 Dis 2022

Faisal menjadi wira dengan menjaringkan gol tunggal ketika menumpaskan Myanmar dengan skor 1-0. — Agensi

MESKIPUN skuad Harimau Malaya mencatatkan kemenangan ketika aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF menentang Kemboja, ramai pihak dilihat tidak berpuas hati dengan persembahan pasukan.

Kejayaan tipis 1-0 yang dicatatkan menerusi jaringan pemain sayap, Faisal Halim pada minit ke-52 sudah cukup menghadiahkan tiga mata berharga buat Malaysia dalam perlawanan pertama kempen tersebut.

Dalam aksi mendebarkan itu, pemain dilihat bergelut sepanjang perlawanan dan kegoyahan benteng pertahanan akhirnya dihukum apabila pengadil memberi penalti kepada pihak lawan selepas pemain muda, Shahrul Nazeem Zulpakar didakwa bola terkena tangan.

Namun, penjaga gol, Syihan Hazmi beraksi cemerlang dengan dia berjaya menepis sepakan tersebut pada minit-minit akhir perlawanan, sekali gus memberikan kelegaan kepada skuad kebangsaan.

Aksi tersebut turut dicemari apabila pertahanan tengah, Khuzaimi Piee dilanda kecederaan pada separuh masa pertama dengan laporan awal menyatakan pemain itu terpaksa melupakan baki aksi Piala AFF.

Hal itu pastinya merencatkan perancangan yang dibuat ketua jurulatih, Kim Pan-gon apabila hanya terdapat Shahrul Nazeem dan Dominic Tan merupakan pilihan terbaik dalam posisi berkenaan.

Oleh itu, dengan mereka bakal meneruskan kemaraan berdepan Laos pada Sabtu, terdapat pelbagai persoalan yang timbul mengenai peluang skuad Harimau Malaya.

Namun, bagi penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli, dia berpendapat anak-anak buah Pan-gon tidak boleh terlalu yakin walaupun Laos bukanlah satu lawan yang sukar.

"Saya optimis skuad kita mempunyai keyakinan lebih tinggi berdepan Laos terutama dengan kehadiran penyokong tempatan.

"Cuma, jangan 'overconfident' walaupun Laos dibelasah oleh Vietnam dan kejayaan ke atas Laos akan jadi gambaran sejauh mana Harimau Malaya boleh melangkah pada AFF kali ini," katanya kepada Majoriti.

Dalam lagi satu aksi Kumpulan B, Vietnam mengumpul tiga mata penuh apabila menundukkan Laos dengan skor 6-0 di Stadium Kebangsaan Laos pada Rabu.

WhatsApp Image 2022-12-22 at 20.31.32

Pekan tidak mahu skuad kebangsaan berpuas hati dengan kemenangan menentang Myanmar.

Kemenangan itu meletakkan pasukan kendalian Park Hang-seo di tangga teratas, sekali gus mencerahkan lagi peluang mereka untuk layak ke separuh akhir.

Bagi skuad kebangsaan pula, mereka perlu memastikan tiga mata penuh ketika beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur menjadi milik mereka bagi memastikan peluang ke pusingan seterusnya masih terbuka.

Mengulas mengenai aksi bertemu Myanmar pula, Pekan berharap mentaliti yang mengatakan kemenangan adalah lebih utama berbanding persembahan perlu dielakkan sekiranya mereka mahu terus meneruskan kemaraan.

"Main bagus tapi tak menang pun tak guna juga. Ibarat skuad 'tiada rotan akar pun berguna' ini menewaskan Myanmar 1 - 0 di gelanggang lawan walaupun dalam keperitan dan kepayahan.

"Kejayaan pertama ke atas Myanmar ini amat penting kerana bukan mudah untuk menang di gelanggang lawan. Secara positif saya harap impak daripada kejayaan ini akan melonjakan semangat dan keyakinan pemain untuk terus maju ke depan," katanya.

Kemenangan yang dicatatkan skuad Harimau Malaya turut membawa satu kelebihan buat pasukan dengan ranking mata FIFA bertambah, sekali gus mempersiapkan mereka untuk kempen Piala Asia akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram