PENARIKAN diri pemain warisan negara, Dion Cools meremukkan harapan penyokong tempatan untuk melihat Harimau Malaya mengulangi kejuaraan Piala AFF 2010 pada edisi kali ini.
Ini kerana pemain berusia 26 tahun itu yang sering diberi kepercayaan memakai lilitan lengan dianggap sebagai 'harapan terakhir' skuad kebangsaan di pentas berprestij serantau itu selepas 14 tonggak utama tarik diri daripada mewakili skuad kebangsaan.
Persembahan cemerlang barisan baharu Harimau Malaya pada dua perlawanan persahabatan menentang Kemboja dan Maldives juga belum cukup meyakinkan memandangkan pasukan lawan berada di ranking lebih bawah daripada ranking Malaysia.
Bagaimanapun, perkara itu ditepis bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir yang berpendapat penyokong tidak perlu berfikiran negatif terhadap pasukan 'campuran' baharu skuad negara tersebut.
"Pada saya mereka semua sama level dengan pemain-pemain yang tarik diri itu. Kita jangan panggil mereka 'underdog', 'feeder', 'team nombor dua' dan sebagainya.
"Permainan mereka agak kelam kabut pada perlawanan persahabatan hari itu adalah kerana mereka masih belum serasi. Tapi secara keseluruhan, mereka cukup mengagumkan dengan kemenangan tanpa dibolosi.
"Sebab saya yakin, mereka memiliki semangat tinggi untuk membuktikan mereka pun boleh lakukan sama seperti team yang ada Johor Darul Takzim tu. Dan itu kelebihan pada barisan pemain Harimau Malaya sekarang," katanya kepada Majoriti.
Gol seawal 5 minit pertama Perancis meranapkan keyakinan pemain Maghribi. — Agensi/EPA
Mengulas lanjut, Jamal mengakui yakin skuad negara mampu sekurang-kurangnya layak untuk melangkah ke pentas final sekiranya dinilai berdasarkan prestasi semasa.
Menggunakan kejayaan pasukan 'underdog' Maghribi menjadi 'giant killer' di Piala Dunia, bekas pengendali Sri Pahang FC itu berkata, keserasian dalam perlawanan, tahap kecergasan tinggi serta gaya taktikal yang strategik merupakan kunci utama untuk sesebuah pasukan.
Menurutnya, skuad kebangsaan perlu berjaga-jaga dengan masa 10 minit penting kerana sebarang kejadian berlaku pada waktu itu akan mempengaruhi psikologi barisan pemain.
"Dalam Maghribi tidak ada pemain bintang jika dibandingkan dengan lawannya. Namun mereka bermain sebagai satu pasukan.
"Mereka bermain bersungguh-sungguh, tak bagi ruang kepada lawan serta tahap kecergasan juga tinggi. Mereka tidak tergugat dengan status lawan mereka.
"Kekalahan mereka kepada Perancis itupun dipengaruhi oleh gol awal pada lima minit pertama itu. Gol sedemikian membuat mereka terus jatuh semangat.
"Dalam bola sepak, 10 minit pertama, 10 minit sebelum masa rehat, 10 minit selepas rehat dan juga 10 minit sebelum wisel penamat merupakan detik paling penting," tambahnya.
Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Yangon pada Isnin, 19 Disember 2022 bagi menghadapi perlawanan pertama saingan Kumpulan B.
Pasukan di bawah bimbingan Pan-gon bakal berdepan Myanmar di Stadium Thuwunna pada Rabu, 21 Disember 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram