BAHANG persaingan Piala AFF 2022 semakin dirasai dengan pengumuman 23 pemain Harimau Malaya yang bakal menggalas misi negara bagi merebut trofi berprestij peringkat Asia Tenggara tersebut.
Diletakkan dalam kumpulan B, Malaysia perlu menghadapi cabaran dari Vietnam, Kemboja, Indonesia dan Laos untuk melepasi peringkat kumpulan dan mara ke separuh akhir kejohanan tersebut.
Di atas kertas, Malaysia yang menduduki ranking 146 dunia dijangka menghadapi cabaran paling besar daripada pasukan Vietnam (96) berbanding Indonesia (152), Kemboja (177) dan Laos (187).
Lebih parah, barisan skuad kebangsaan tidak dibarisi tonggak-tonggak utama yang melayakkan Harimau Malaya ke Piala Asia, tetapi pemain-pemain debut pada dua perlawanan persahabatan baru-baru ini.
Namun, berita baik seakan-akan menyapa kem negara apabila skuad Vietnam dilaporkan mengalami kemelut kecederaan yang mungkin mampu menyeimbangkan kekuatan kedua-dua pasukan.
Masalah kecederaan ini jelas memberi kesan kepada Vietnam setelah kelihatan bergelut untuk menewaskan Filipina dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini.
Quang Hai Sah baru sahaja dilepaskan kelabnya untuk menyertai kempen Piala AFF.
Dengan keadaan Vietnam tersebut, Malaysia dijangka akan mendapat laluan mudah untuk menamatkan badi kekalahan ke atas pasukan itu.
Cuma pada masa sama, penyokong bola sepak tempatan, Khairulnizam Seruani menasihatkan ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon agar tidak termakan dengan 'perang psikologi' Vietnam.
"Propa je coach diorang ni. Jadi kita jangan cepat terpedaya dan ambil mudah. Nanti hari sebenar main padu. Bukan tak kenal taktik dia ni," jelasnya.
M. Uzaiez Farhan turut senada dengan kenyataan itu dan berpendapat media Vietnam sering membantu pasukan tersebut untuk mengadakan 'perang psikologi' pada pasukan lawan.
"Boleh percaya ke kenyataan media mereka ini. Saya rasa ini lebih kepada perang psikologi. Sebenarnya pemain mereka baik-baik sahaja," jelasnya.
Sementara itu, Othman Aly turut mengingatkan skuad negara dengan kehadiran bintang Vietnam, Nguyen Quang Hai Sah yang sudah mula menyertai skuad kebangsaannya pada kempen kali ni.
"Jangan lupa, Nguyen Quang Hai Sah dah sertai kem sebab kelab dia baru lepaskan dia. Nguyen Huang Duc mungkin dilaporkan cedera, tapi ada pula Quang Hai.
"Satu Nguyen cedera, 20 lagi Nguyen boleh ganti. Jadi kita tak boleh rasa lega dengan berita ini," katanya.
Sebagai rekod, Vietnam memenangi 11 perlawanan berturut-turut ke atas Malaysia dengan dua kemenangan pernah berpihak pada Harimau Malaya manakala dua lagi seri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram