KEPUTUSAN cemerlang Harimau Malaya pada dua perlawanan persahabatan bukan tiket untuk skuad negara mengambil mudah cabaran pada Piala AFF bermula 21 Disember nanti.
Tempoh ekperimen ketua jurulatih, Kim Pan-gon pada dua perlawanan persahabatan menentang Kemboja dan Maldives seharusnya sudah memberikan petanda jelas berkenaan nama-nama yang akan disenarai akhir nanti.
Biarpun skuad Harimau Malaya meraih kemenangan bergaya tanpa dibolosi pada perlawanan persahabatan baru-baru ini, gaya permainan yang ditampilkan skuad kendalian Pan-gon masih lagi berterabur.
Pengendali dari Korea Selatan tersebut turut mengakui beberapa aspek teknikal dan taktikal barisan pemainnya masih perlu diperbaiki kerana lawan mereka di Piala AFF lebih mencabar.
Dion Cools tidak menyertai perlawanan persahabatan namun akan tampil pada kemen Piala AFF. — FAM
Disenaraikan dalam Kumpulan B Piala AFF, Harimau Malaya perlu membuat pertarungan dengan pasukan Myanmar, diikuti Laos, Vietnam dan Singapura sebelum menjadi dua pasukan teratas untuk layak ke separuh akhir Piala AFF.
Dengan kepulangan Dion Cools yang pasti akan menguatkan lagi benteng pertahanan pasukan, penyokong bola sepak tempatan menyenaraikan lima nama pemain yang disifatkan tidak menyerlah pada dua perlawanan persahatan baru-baru ini.
Penyokong, Abesamkakoi Bucukku Alayubi menyenarai Safawi Rasid, Mukhairi Ajmal, Ramadhan Saifullah, Rahadiazli Rahalim serta Kogileswaran Raj sebagai pemain yang perlu digugurkan.
"Nanti bila Cools datang, kita akan ada 28 pemain, lima pemain kena keluar, jadi saya cadangkan Safawi, Muhkairi, Ajmal, Ramadhan, dan Kogi," katanya.
Safawi dikatakan antara tidak menyerlah dan senang pancit. — Agensi
Seorang lagi pemain, Izam Razali turut berpendapat bahawa Safawi yang menggalas tanggungjawab sebagai kapten separuh masa pertama pada Rabu, 'pancit' sepanjang perlawanan.
"Safawi pancit. Tengok separuh masa pertama dah termengah. Nampak pegang dada berulang kali," katanya.
Zulkifli Mansor juga berpendapat bahawa Mukhairi gagal memainkan peranannya sebagai pemain tengah sekali gus wajar digugurkan.
"Tak ada fungsi Mukhairi kali ini. Pengulas pun pening nak ulas tentang pemain tengah yang tak mampu untuk bantu Darren Lok di bahagian serangan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram