PRESTASI memberangsangkan yang ditampilkan skuad kebangsaan pada perlawanan persahabatan bersama Maldives dan Kemboja memberikan sinar baharu kepada ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Sebelum ini, pengendali berusia 53 tahun tersebut meluahkan rasa terkejutnya dengan tindakan 14 tonggak utama Harimau Malaya menarik diri daripada kempen Piala AFF atas faktor kecederaan, hal keluarga dan bercuti.
Pan-gon menggunakan peluang tersebut dengan memberikan peluang kepada pemain-pemain kebangsaan baharu untuk melakukan debut bersama pasukan itu dan berharap mereka mampu menyerap corak permainan dan taktikalnya dengan segera.
Seperti diharapkan pengendali dari Korea Selatan, pemain-pemain baharu yang diturunkan pada perlawanan menentang Kemboja pada Jumaat lalu mampu mempamerkan aksi membanggakan dengan kemenangan 4-0.
Bahkan menurut Pan-gon, rentak pemain 'hingusan' Harimau Malaya tersebut mempamerkan aksi lebih baik berbanding barisan 'otai' yang meraih keputusan 3-0 ke atas Maldives.
Penyokong bola sepak tempatan, M. Amirul Azlan berpendapat bahawa kejayaan yang dapat disaksikan penyokong bola sepak tempatan itu adalah impak daripada visi kelab Petaling Jaya City FC (PJ City FC).
Menurutnya, pemain tempatan di pasukan lain sering berebut minit permainan dengan pemain-pemain import dan naturalisasi sekali gus menyebabkan bakat mereka sekadar tumpul di bangku simpanan.
Darren mempamerkan peningkatan prestasi memberangsangkan sejak menyertai PJ City FC. — Bernama
"Sejujurnya PJ City FC bukan lah pasukan yang gagal, namun boleh dikatakan berjaya. Pendekatan mereka menggunakan kesemua pemain tempatan cukup banyak memberi impak positif buat pasukan kebangsaan.
"Sudah pasti jika PJ City FC gunakan import, kita tidak akan lihat Dareen Lok seperti sekarang. Kita juga dapat pemain muda yang boleh backup tempat Corbin Ong iaitu Ruventhiran.
"Kita juga dapat lihat ketangkasan Kalamullah menjaga gawang PJ City FC tanpa pertahanan import," jelasnya di laman Facebook.
Senada dengan Amirul, Rizal Omran berharap ada pihak sudi untuk selamat PJ City FC atau melakukan pejenamaan semula dengan konsep serupa setelah impak positif pasukan tersebut dapat dilihat menerusi Harimau Malaya.
"Harap-harap ada pihak sudi meneruskan konsep semua pemain lokal ini. Biarpun sukar bertanding dengan kelab-kelab gergasi lain, namun dia tetap ada jasa di peringkat kebangsaan.
"Anggap ia sebagai kelab gilap bakat tempatan yang akhirnya nanti dibeli oleh kelab lain. Sekarang pemain-pemain PJ City FC laku keras disunting kelab-kelab lain," katanya.
Sebagai rekod, PJ City FC pula sah menarik diri dari Liga M kerana matlamat kelab itu untuk tampil sebagai pasukan sepenuhnya pemain tempatan dilihat tidak bersesuaian dengan hala tuju penstrukturan Liga Malaysia 2023 yang membenarkan semua pasukan memiliki sembilan import.
Selain itu, terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa kawasan Petaling Jaya tidak menarik ramai penyokong sekali gus menyebabkan kelab tersebut tidak mendapat pulangan sewajarnya untuk menampung kelab tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram