Terus sokong pasukan kebangsaan tanpa mendesak kerajaan campur tangan — Pakar


  • Podium
  • Khamis, 15 Dis 2022

Hannah (dua kanan) dan Adam kini memegang portfolio Kementerian Belia dan Sukan selepas PRU15.

TINDAKAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menurunkan lagi harga tiket Piala AFF 2022 buat kali kedua selepas 'ditegur' Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi ciapan di Twitter bagaikan satu kemenangan buat penyokong bola tempatan.

Masakan tidak, desakan penurunan harga tiket itu dimulakan penyokong tempatan dengan 'menghubungi' Ahli Parlimen Segambut menerusi media sosial setelah berasakan harga tiket kejohanan tersebut terlalu mahal berbanding penganjuran terdahulu.

Biarpun tindakan populis itu menguntungkan penyokong tempatan, namun penganalisis sukan, Mohd Sadek Mustafa berpendapat penyokong perlu berhati-hati bila melibatkan kerajaan dalam hal-hal berkaitan dengan bandan induk sukan tersebut.

Menurutnya, biarpun berkemungkinan tidak ada isu kali ini, namun tindakan itu sekiranya dibiasakan boleh menyebabkan Malaysia berisiko berdepan tindakan tatatertib oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Ciapan Hannah Yeoh yang mendorong kepada penurunan harga tiket buat kali kedua.

Ini kerana sudah termaktub dalam peraturan yang telah ditetapkan oleh badan itu bahawa Malaysia boleh dikenakan tindakan tatatertib sekiranya terdapat campur tangan kerajaan atau individu selain badan bola sepak Malaysia dalam urusan bola sepak tempatan.

"Pada pandangan saya, apa juga keputusan yang dibuat FAM adalah untuk memastikan hubungan dengan kerajaan pusat berlaku dalam suasana harmoni.

"Perkara ini berlaku kerana banyak projek pembangunan bola bergantung kepada dana kerajaan. Sama ada FAM akan digantung oleh FIFA bergantung kepada laporan bertulis dan justifikasi yang dibuat oleh FAM kepada FIFA.

"Sekiranya terdapat unsur-unsur melampau campur tangan kerajaan dalam tadbir urus FAM, tidak mustahil digantung. Namun buat masa ini tidak kelihatan insiden itu berlaku," katanya kepada Majoriti.

Salah satu ciapan peminat kepada Hannah dan timbalannya, Adam Adli.

Mengulas lanjut, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) tersebut beranggapan, masyarakat perlu memahami berkenaan peningkatan kos-kos berkaitan dalam tempoh empat tahun ini termasuk kos pengurusan dan penganjuran perlawanan.

"Saya rasa penyokong bola sepak negara perlu sedar, penganjuran sukan kini memerlukan kos yang tinggi dalam perlaksanaannya terutama melibatkan pasukan luar negara.

"Jadi kita perlu memberi kerjasama dan terus sokong pasukan kebangsaan tanpa mendesak kerajaan campur tangan. Saya rasa dengan hutang negara kini lebih 1 trilion, pihak swasta boleh menghulurkan minat mereka untuk menaja harga tiket tersebut bukan kerajaan," katanya.

Sebagai rekod, FAM sebelum ini mengumumkan harga bagi menyaksikan perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu adalah RM50 bagi tempat duduk terbuka, RM70 (premium) dan RM100 (grandstand).

Namun tidak lama kemudian, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, dalam sebuah kenyataan mengumumkan harga terkini bagi setiap aksi itu adalah RM45 bagi tempat duduk terbuka, RM60 (premium) dan RM70 (grandstand), manakala tiket kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun kekal pada harga RM10.

Tidak setakat itu atas desakan menteri, harga tiket sekali lagi mengalami penurunan iaitu tiket terbuka diturunkan ke RM30, tiket premium diturunkan ke RM50, tiket grandstand diturunkan ke RM60 manakala tiket kanak-kanak (6-12 tahun) diturunkan ke RM5.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram