Dedah perkembangan TRW, fans ada 2 ‘request’ penting buat Zamsaham


  • Podium
  • Sabtu, 17 Dis 2022

Norizam akhirnya bersuara mengenai perancangan buat pasukan Kelantan FC musim depan. — Facebook/TRW

DI saat pasukan-pasukan lain sedang sibuk memperkenalkan 'darah baharu' pasukan mereka, kem Kelantan FC membisu tanpa sebarang khabar berita.

Ini membuatkan penyokong The Red Warriors berasa cemas memandangkan naib juara Liga Perdana 2022 itu bakal menghadapi saingan lebih getir di kempen Liga Super 2023 nanti.

Sebelum ini, penyokong terpaksa menelan hakikat pahit apabila satu persatu pemain dan jurulatih idaman pemilik TRW, Norizam Tukiman terlepas ke tangan kelab lain.

Bermula dengan pilihan jurulatih tempatan seperti Lim Teong Kim yang disambar Perak FC, diikuti dengan P. Maniam ke Harini FT, terdapat beberapa pemain tempatan idaman Norizam termasuk Luqman Hakim dan Richmond Tetteh Ankrah juga dilihat masih lagi bersama pasukan masing-masing.

Namun, 'penyiksaan' yang dirasai penyokong pasukan Pantai Timur itu sudah sampai ke penghujung apabila Norizam membuatkan beberapa pengesahan berkenaan masa depan kelabnya itu.

Menurut Norizam, pihaknya telah mengenal pasti ketua jurulatih baharu buat TRW namun enggan mendedahkan identiti jurulatih tersebut sehingga masa sesuai.

"Coach Rezal (Zambery Yahya) sah jadi penolong ketua jurulatih pada tahun depan. Ketua jurulatih pula dalam proses terakhir.

"Surat tawaran tiga pemain baharu TRW dah ditandatangani. Seorang penyerang, seorang pertahanan dan seorang penjaga gol.

TRW mengalami rombakan besar-besaran apabila hanya dua import dikekalkan untuk musim depan. Facebook/TRW

"Insya-ALLAH, ada tiga lagi pemain lokal yang akan tandatangan bersama TRW. Satu pemain import sudah tandatangan juga pada minggu lalu," katanya menerusi laman Facebook.

Muat naik perkembangan terkini itu sedikit sebanyak membuatkan peminat menarik nafas lega dengan nasib Kelantan FC pada musim depan.

Penyokong TRW, Harsy Ezairy mengharapkan jurulatih yang 'dipinang' itu memiliki taktikal 'high pressing' agar mampu menyaingi kelab gergasi Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT).

"Harap jurulatih ini main high pressing. Bolehlah bagi saingan sikit dengan corak keseluruhan bola sepak JDT," jelasnya.

Sementara itu, Nur Aleesya pula berharap Norizam memanfaatkan lokasi negeri itu untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab negara jiran.

"Kemas Boszam. Nanti aturkan latihan awal dan adakan friendly dengan kelab-kelab Thailand. Biar keserasian dicapai sebelum liga bermula," cadangnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram