Benteng Harimau Malaya goyah tanpa Cools tapi ada 2 'back up' bakal menyinar


  • Podium
  • Sabtu, 17 Dis 2022

Barisan 23 pemain skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon terus giat menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Jumaat.

PENGUMUMAN senarai akhir 23 pemain yang bakal mewakili Malaysia di kejohanan Piala AFF 2022 mengejutkan penyokong bola sepak tempatan apabila kapten kegemaran ramai, Dion Cools dilaporkan menarik diri ekoran urusan peribadi.

Semangat patriotik pemain warisan itu sebelum ini dipuji ramai kerana sanggup pulang ke tanah air untuk melaksanakan misi negara biarpun sedang berkelana di Eropah.

Pujian itu diberi susulan daripada tindakan 14 tonggak utama Harimau Malaya yang menarik diri daripada skuad negara atas alasan kecederaan, urusan peribadi dan komitmen keluarga.

Lebih menghangatkan situasi, 11 daripada 14 pemain yang dikritik dan dibandingkan dengan semangat patriotik Cools tersebut merupakan pemain Johor Darul Takzim (JDT).

Justeru, tindakan pemain berusia 26 tahun itu menarik diri pada saat akhir menimbulkan spekulasi negatif berkenaan 'pengaruh' di sebalik keputusan itu memandangkan Cools bakal menyertai Harimau Selatan musim depan.

FAM mendedahkan bahawa Cools menarik diri atas urusan peribadi. — Facebook/FAM

Ketiadaan Cools itu memberikan satu lagi tamparan buat Harimau Malaya terutama bahagian pertahanan negara yang memerlukan pengalaman pemain kacukan Belgium dan Malaysia itu.

Salah seorang penyokong tempatan, Rosli Salim beranggap bahawa enam orang pertahanan tersenarai bakal mengalami 'masa sukar' sepanjang kempen Piala AFF.

"Pemain-pemain pertahanan kita masih tidak banyak berkeyakinan macam Cools. Kalau ada yang cedera atau ada yang kena gantung, memang bergelutlah bahagian pertahanan kita" katanya.

Namun, buat Joyce Alexander, situasi tersebut memberikan pertahanan-pertahanan negara satu pendedahan baharu menjelang Piala Asia meskipun berisiko.

"Tidak mengapa tak ada Cools. Sekarang ini, kita fokus pada pemain yang mahu bermain untuk negara. Macam Azam Azmi dan Shahrul Nazeem.

"Pendedahan yang berisiko di bahagian pertahanan. Tapi kalau tak berani ambil risiko, macam mana nak bermain Piala Asia nanti," katanya.

Kawe Pik turut mahu memainkan peranan sebagai penyokong dengan sentiasa berfikiran positif agar skuad Harimau Malaya turut tidak tergugat dengan keputusan penarikan diri itu.

Senarai penuh 23 pemain yang mewakili Malaysia ke Piala Mitsubishi Electric AFF 2022. — Facebook/FAM

"Tak ada Cools sebenarnya lagi baik untuk Kejohanan AFF ini. Sekurang-kurangnya dapat bagi peluang kepada Azam Azmi dan Shahrul Nazeem," jelasnya.

Sebagai rekod, selain Cools, lima pemain yang sebelum ini berada dalam senarai 28 pemain dipanggil ke kem latihan pusat sejak 29 November lalu tidak berada dalam senarai akhir tersebut iaitu penjaga gol, Azri Ab Ghani, Kogileswaran Raj, Ramadhan Saifullah Usman, Aliff Izwan Yuslan serta Dion Cools.

Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Yangon pada Isnin, 19 Disember 2022 bagi menghadapi perlawanan pertama saingan Kumpulan B.

Pasukan di bawah bimbingan Pan-gon bakal berdepan Myanmar di Stadium Thuwunna pada Rabu, 21 Disember 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram