TINDAKAN sebahagian pemain tempatan menolak seruan negara atas urusan peribadi menjelang kejohanan Piala AFF menimbulkan persoalan berkenaan nilai patriotisme masing-masing.
Keadaan tersebut diburukkan lagi dengan pengakuan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkenaan pengalaman pertamanya menghadapi situasi sedemikian.
Seperti sengaja menyimbah minyak ke dalam api sedang marak, sesetengah pemain tidak segan untuk mempamerkan momen-momen percutian di laman media sosial masing-masing.
Muat naik tersebut berbeza dengan perkembangan semasa yang dipamerkan pemain import Johor Darul Takzim, Jordi Amat serta pemain import Sabah FC, Saddil Ramdani yang sedang giat berlatih bersama skuad negara mereka bagi menghadapi kejohanan rantau Asia Tenggara itu.
Ini menyebabkan penyokong tempatan berasa rasa kurang senang dengan mentaliti pemain-pemain tempatan yang hanya bermain untuk mendapatkan habuan besar.
TMJ menyelar Kim Pan-gon setelah pengendali itu mengakui terkejut dengan penarikan diri pemain secara beramai-ramai. — Instagram
Situasi ini merisaukan kerana sekiranya dikekalkan, tidak mustahil kelab-kelab Liga Super lain turut mengambil tindakan sama pada kejohanan seterusnya sekali gus menyebabkan skuad kebangsaan ketandusan pemain.
Bekas pemain kebangsaan, Jamal Nasir menganggap perkara ini bukan satu krisis patriotisme tapi lebih kepada keinginan pemain bola sepak untuk 'survive' dalam dunia bola sepak.
Menurutnya, sistem kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan juga sistem penswastaan kelab memaksa keadaan tersebut berlaku sekali gus pemain terpaksa akur meskipun jauh di sudut hati, mereka masih mahu berkhidmat untuk negara.
"Apabila sudah adanya kalendar FIFA dan peraturan baharu, banyak kelab ambil kesempatan ini untuk jaga kualiti kecergasan pemain mereka sebab mereka pun mahu bersedia untuk saingan liga seterusnya.
"Dulu masa liga masih amatur, kita tidak ada rehat pun. Panggilan nasional pasti disahut. Dulu main dari Januari sampai Disember.
"Alasan letih itu tak ada. Sebab masa untuk seorang pemain bola sepak untuk pulih dalam lingkungan 72 jam sahaja. Tak adalah sampai dua minggu untuk rehat," katanya kepada Majoriti.
Perbualan antara Bergson dan Jordi berkenaan yang dijadikan 'troll' penyokong tempatan. — Instagram
Bekas jurulatih Sri Pahang FC itu turut berpendapat sistem sekarang menyebabkan pemain-pemain tempatan hanya selesa bermain dalam liga domestik dan cenderung untuk sekadar menjadi jaguh kampung.
Tambahnya, seorang pemain perlu memanfaatkan masa terluang untuk terus timba ilmu dengan perbanyakan lagi pendedahan di saingan peringkat antarabangsa.
"Dulu keutamaan memang kepada panggilan nasional sebab kami semangat untuk wakil negara. Selain itu, kami anggap ia peluang untuk mendedahkan diri dengan perlawanan antarabangsa.
"Jadi, apabila pulang ke kelab, gaya permainan akan jadi lebih matang. Sekarang ini pemain perlu kumpul duit banyak-banyak sebab nanti mereka dah tak ada back up. Jadi boleh faham kenapa mereka terikat dengan kemahuan kelab," katanya.
Sebagai rekod, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini memaklumkan 11 pemain JDT termasuk Arif Aiman Hanapi, Corbin Ong, Shahrul Saad, Matthew Davies dan Natxo Insa serta tonggak Sri Pahang, Nor Azam Azih tidak dapat menyertai kem kali ini atas pelbagai alasan seperti urusan peribadi, komitmen keluarga dan masalah kecederaan.
Kemudiannya pada hari pertama kem latihan pada Selasa, dua lagi pemain, Akram Mahinan dan Declan Lambert pula turut menarik diri daripada skuad kerana urusan peribadi. Terkini, seorang lagi pemain, Dion Cools menarik diri atas alasan serupa.
Senarai akhir 23 pemain Harimau Malaya akhirnya diumumkan FAM pada Jumaat.
Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Yangon pada Isnin, 19 Disember 2022 bagi menghadapi perlawanan pertama saingan Kumpulan B.
Pasukan di bawah bimbingan Pan-gon bakal berdepan Myanmar di Stadium Thuwunna pada Rabu, 21 Disember 2022.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram