Tolak godaan JDT dan Selangor, 2 sebab utama Syihan perlu setia


  • Podium
  • Ahad, 30 Okt 2022

Ramai yang mahu Syihan agar kekal di Negeri Sembilan. — FAM

MENJELANG jendela perpindahan yang bakal dibuka pada Disember ini, sudah pasti pasukan-pasukan Liga Malaysia (Liga M) sedang mengintai pemain-pemain baharu untuk menguatkan lagi kubu mereka.

Apatah lagi, Liga Super musim depan menyaksikan penyertaan 18 pasukan seterusnya menjadikan persaingan semakin sengit.

Antara nama yang bakal disebut-sebut untuk melakukan perpindahan adalah penjaga gol Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi.

Pemain berusia 26 tahun itu seakan-akan menjadi rebutan apabila khabar angin mengatakan dia bakal dilamar oleh Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC.

Pada masa sama, Negeri Sembilan tidak hanya berdiam diri apabila dikhabarkan akan mengekalkan pemain tinggi lampai tersebut dalam skuad Jang Hobin.

Berdasarkan komen penyokong Negeri Sembilan di laman media sosial, mereka sempat menyatakan dua sebab utama mengapa penjaga gol kebangsaan itu perlu kekal dalam pasukan tersebut musim depan.

1) Minit permainan

file7bnji0ize47163v0tgaf

Jika Syihan berhasrat untuk menyertai pasukan lain, dia pasti sukar untuk mendapatkan minit-minit permainan. — Agensi

Berdasarkan laman sesawang transfermarkt, Syihan beraksi dengan kerap apabila berjaya mengumpul 2,160 minit permainan ketika membuat penampilan dalam Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA pada musim ini.

Tempoh minit permainan itu disifatkan sudah cukup banyak bagi membuktikan pemain kelahiran Kelantan itu bertenaga dan sesuai dalam skuad Jang Hobin.

Oleh itu, penyokong berpendapat sekiranya Syihan berhasrat untuk menyertai pasukan lain, dia pasti sukar untuk mendapatkan minit-minit permainan.

Di JDT, kehadiran kapten pasukan, Farizal Marlias dan pemain muda, Haziq Nadzli dilihat sebagai satu cabaran besar untuk penjaga gawang Jang Hobin itu.

Perkara sama turut berlaku di skuad Gergasi Merah apabila mereka ketika ini mempunyai penjaga gol berkualiti, iaitu Sam Sommervile dan Khairulazhan Khalid.

Keberadaan kesemua penjaga gol itu pastinya menyekat hasrat dalam mengembangkan kariernya.

2) Peluang dalam skuad kebangsaan

file7bnji0pa85j7tvir8ny

Aksi Syihan ketika melakukan sesi latihan di Shah Alam, Selangor pada Julai lalu. — Agensi

Nama Syihan semakin mendapat perhatian sehingga mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan.

Sekiranya dia mahu mendapat kepercayaan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-Gon, ada yang menyarankannya supaya kekal bermain di Negeri Sembilan.

Seperti sebab pertama, jumlah minit permainan selain aksi mantapnya membantu kelab menduduki tangga keempat Liga Super boleh menjadi tempatnya dalam skuad negara.

Jika dia berpindah ke JDT, belum pasti dia akan diturunkan sebagai kesebelasan utama dan keadaan itu memberi kira-kira mudah buat Pan-gon mengenepikannya serta memilih penjaga gol yang lebih banyak beraksi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram