Bukan saja Nafuzi dan Kiatisuk Senamuang, 4 lagi figura layak kendali Kedah


  • Podium
  • Selasa, 18 Okt 2022

Nafuzi dikaitkan dengan perpindahannya ke KDA FC pada musim depan. — Facebook/TFC

SUSULAN kemerosotan prestasi dalam saingan Liga Super 2022, Kedah Darul Aman (KDA FC) mengumumkan penamatan khidmat Aidil Sharin Sahak sebagai ketua jurulatih pasukan Hijau Kuning.

Menurut kenyataan KDA FC, tempat jurulatih dari Singapura itu akan digantikan oleh pembantu Aidil Sharin, Victor Andrag sebagai Pemangku Ketua Jurulatih (Interim) Sang Kenari untuk baki saingan Liga Malaysia yang bakal bermula pada 25 dan 26 Oktober ini.

Selepas pengumuman mengenai pengunduran Aidil Sharin itu, nama-nama jurulatih yang dikaitkan dengan Kedah mula diperkatakan dalam kalangan penyokong.

aidil 2

Aidil mengemudi KDA FC sejak musim 2019. — Facebook/KDA FC

Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain dan bekas jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang menjadi antara nama yang diharapkan untuk membimbing Kedah pada musim depan.

Selain dua jurulatih popular tersebut, terdapat empat lagi pengendali berpengalaman yang sesuai untuk membawa Kedah kembali cemerlang pada musim depan.

Berikut Majoriti menyenaraikan empat jurulatih yang sesuai untuk menggantikan tempat Aidil Sharin;

1) P. Maniam

MANIAM

Maniam mula membimbing skuad PJ City FC pada 2020. — Agensi

P. Maniam memulakan kerjaya jurulatih pada tahun 2005 bersama Selangor B-19, yang mana ketika itu dia membantu The Red Giants menjuarai Piala Belia 2006.

Selepas sukses bersama pasukan belia, Maniam dinaikkan pangkat menjadi penolong jurulatih skuad Liga Super Selangor selama tujuh musim dari 2009 hingga 2015.

Selain Selangor, pengendali berusia 54 tahun itu juga berpengalaman menguruskan pasukan Harimau Muda dan terbaharu Petaling Jaya (PJ) City FC.

Kehebatannya mula disedari apabila dia membimbing skuad PJ City FC pada 2020 dan berjaya mengekalkan The Phoenix dalam saingan Liga Super sehingga musim ini.

Lebih menarik, Maniam menggunakan falsafah tanpa pemain import dalam skuad PJ City, buatkan langkah tersebut bakal membantu ramai pemain tempatan mendapatkan minit permainan.

KDA FC sesuai untuk menggunakan khidmat bekas pemain Selangor itu musim depan berikutan ada ura-ura mengatakan PJ City bakal dibubarkan pada musim 2023.

2) K. Devan

Screenshot 2022-10-17 at 10.22.42 PM

Devan akhiri Liga Super dengan membawa NSFC pada kedudukan keempat liga. — Agensi

Siapa sangka, Negeri Sembilan FC (NSFC) yang baru sahaja melayakkan diri ke pentas Liga Super berjaya menamatkan saingan di tangga keempat selepas satu kempen yang cukup memberangsangkan.

Walaupun ramai melihat perkara itu adalah disebabkan pemain kebangsaan cemerlang seperti Ahmad Khuzaimi dan Ahmad Syihan, ada juga yang percaya bahawa kehadiran ketua jurulatih, K Devan menjadi faktor utama di atas pencapaian itu.

Pengendali berusia 61 tahun itu sememangnya tidak asing dalam kalangan peminat bola sepak tempatan apabila dia pernah membawa beberapa pasukan lain, termasuk Selangor FA dan Kelantan FA.

Tidak cukup dengan itu, pelbagai kejuaraan juga berjaya dikecapi dengan trofi Liga Super dan Piala FA pernah dijulang sepanjang karier kejurulatihannya.

Kini, dia berjaya membawa kejayaan Negeri Sembilan FC dengan hanya beberapa mata meleburkan impian mereka untuk beraksi di pentas Asia musim depan.

Bagaimanapun, dengan kehadiran pemilikan baharu KDA FC, perkara itu pastinya mencuri perhatian Devan dalam mengemudi pasukan Liga Malaysia lain.

Struktur kewangan yang kukuh serta sikap terbuka pihak pengurusan Sang Kenari dalam mencari pengendali baharu dilihat sebagai salah satu sebab untuk membawa Devan ke utara tanah air.

3) Ramon Marcote

MARCOTE

Marcote sebelum ini melatih kelab yang berpangkalan di Cyprus iaitu Ethnikos Achna. — Agensi

Jurulatih dari Sepanyol iaitu Ramon Marcote merupakan nama yang tidak asing lagi dalam kalangan penyokong bola sepak Sang Kenari dan banyak sumbangan besar darinya buat pasukan pada suatu ketika.

Marcote menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih kecergasan pada tahun 2015 dan dia merupakan antara tulang belakang pengendali utama iaitu Tan Cheng Hoe ketika itu.

Pada penghujung 2017, Marcote dilantik sebagai ketua jurulatih selama beberapa bulan sebelum dia diberikan peranan baharu iaitu Ketua Jurulatih Pembangunan Bola Sepak KFA.

Marcote yang kini masih lagi berehat setelah dia berpisah dengan kelab yang berpangkalan di Cyprus iaitu Ethnikos Achna, merupakan waktu yang sesuai untuk KDA FC melamarnya.

Berbaloi untuk Kedah mengambil semula Marcote kerana pengalamannya di pentas Eropah dan perkara itu boleh digunakan bersama Kedah pada musim depan.

4) Mehmet Durakovic

MEHMET

Durakovic mula mengemudi Perak pada 2017. — Agensi

Jurulatih dari Australia, Mehmet Durakovic mula berkancah dalam Liga Malaysia bermula dari 2013 hingga 2015 yang mana dia dilantik sebagai pengurus dan ketua jurulatih Selangor FA.

Durakovic berjaya membawa Selangor dinobatkan sebagai naib juara Liga Super Malaysia 2014, suku akhir Piala Malaysia 2014.

Malah, di bawah kendaliannya, Selangor merangkul kejuaraan Piala Malaysia ke-33 dan menamatkan saingan Liga Super sebagai naib juara.

Pada Februari 2017, Durakovic mengambil alih sebagai ketua jurulatih Perak F.C selepas kelab itu menamatkan kontrak bekas ketua jurulatih mereka, Karl-Heinz Weigang.

Pada Oktober 2018, Durakovic membawa Perak ke pusingan akhir dan memenangi Piala Malaysia ke-92 menentang Terengganu.

Terkini, Durakovic tidak terikat dengan mana-mana pasukan yang membolehkan skuad Sang Kenari membawanya masuk sebagai ketua jurulatih pada musim akan datang.

Pengalamannya dalam landskap bola sepak tempatan pasti menjadi satu kelebihan selain dia pernah mengecapi kejayaan dengan Perak FC dan Selangor FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram