“DALAM perlawanan nanti, Syihan akan buktikan bahawa dia pilihan pertama untuk menjadi penjaga gol Malaysia”.
Demikian kata ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Devan ketika mengulas tentang aksi yang bakal ditampilkan oleh penjaga gawang utama, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed saat menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ismail, Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu.
Devan berpendapat bahawa pengalaman Ahmad Syihan sepanjang mewakili Malaysia akan sememangnya memberi dia peluang untuk menambah kualiti dalam gaya permainannya.
Termasuk Ahmad Syihan, jurulatih berusia 55 tahun itu akan menurunkan kesebelasan terbaik skuad Jang Hobin bagi menghadapi perlawanan menentang Harimau Selatan.
Bagaimanapun, tonggak pertahanannya yang juga pemain kebangsaan, Ahmad Khuzaimi Piee tidak akan diturunkan berikutan digantung satu perlawanan.
Antara pemain skuad Jang Hobin. — Facebook/NSFC
“Bukan hanya semasa (mewakili) skuad kebangsaan, sepanjang musim ini Syihan sangat konsisten. Pengalaman mewakili Malaysia akan beri peluang untuknya untuk menambah kualiti.
“Khuzaimi tiada tapi kita ada pemain yang boleh ganti dan ini akan beri peluang kepada pemain itu berikan persembahan terbaik. Khair Jones akan ganti dia.
“Kita tahu rekod JDT di tempat sendiri. Ia satu perlawanan yang sukar. Sukar untuk menandingi kualiti mereka.
“Yang penting saya fokus prestasi pasukan saya dan harap pemain-pemain akan fokus dan memberi satu persembahan yang baik. Sentiasa mengikuti game plan dan strategi perlawanan yang telah ditetapkan,” katanya kepada Majoriti.
Devan akan menurunkan kesebelasan terbaik skuad Jang Hobin bagi menghadapi perlawanan menentang Harimau Selatan. — Facebook/NSFC
Saat mengulas kekalahan 0-1 ketika perlawanan Mei lalu di Paroi, Negeri Sembilan, Devan berharap pada Sabtu ini, anak-anak buahnya dapat memberikan jurang ketika melawan JDT.
Baginya, keputusan akhir pada perlawanan itu adalah tidak penting kerana memberikan kualiti permainan kepada pihak lawan perlu diutamakan.
“Saya memang ketahui JDT lebih baik dari NSFC, taraf dan tahap mereka berada pada tinggi. Kami ingin tunjukkan jurang lawan JDT.
“Kalau boleh saya fikir hanya untuk 90 minit sahaja. Sebarang keputusan pengadil itu adalah hal mereka. Saya hanya persiapkan pasukan untuk main 90 minit dan masa tambahan,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram