PENJAGA gol Negeri Sembilan, Ahmad Syihan Hazmi dikatakan mengalami kemerosotan prestasi dalam dua perlawanan terakhir yang ditempuh iaitu ketika menentang Johor Darul Takzim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA FC), minggu lalu.
Dalam dua perlawanan itu, pemain berketinggian 1.84 meter itu melepaskan lapan gol dengan lima gol bolos ketika bertemu JDT dan tiga gol lagi semasa menentang KDA FC.
Disebabkan itu, Syihan yang juga penjaga gol kebangsaan harus bangkit dan meningkatkan prestasi untuk menambah keyakinan jurulatih bola sepak negara, Kim Pan-gon selepas dia diberi kepercayaan untuk menjadi penjaga gol nombor satu negara.
Di sebalik apa yang diperkatakan, ini mungkin tiga punca prestasi Syihan merudum sejak kebelakangan ini seperti mana dibongkarkan netizen di media sosial. Betul atau tidak, terserah kepada Syihan untuk kembali bangkit mempamerkan prestasi sebenar dalam dua aksi terakhir saingan domestik selepas ini, iaitu berdepan Melaka United (Selasa) dan Sri Pahang pada Sabtu jika masih mendapat kepercayaan pengendali The Jang, K. Devan.
Benteng pertahanan NSFC yang lemah antara punca gawang pasukan itu mudah dibolosi. — Facebook
1) Pertahanan kurang ampuh
Ada penyokong yang berasakan Syihan masih mempamerkan aksi terbaik walaupun di hujung musim. Persembahannya dalam dua perlawanan terakhir itu bukanlah atas faktor kemerosotan prestasi sebaliknya berkaitan pertahanan lemah.
"Dia okey cuma kalau defend lemah atau pihak lawan macam JDT tu memang tak daya la...kejap-kejap datang..kejap-kejap datang," kata Shahrudin di laman Facebook Liga Super Malaysia.
Zul Farid berpendapat, berbeza dengan pasukan kebangsaan, Syihan dibantu oleh benteng pertahanan yang lebih baik berbanding dengan pemain di NSFC.
"Sebelum keeper, ada empat atau lima defense lindungi keeper daripada serangan, kalau pertahanan teruk, teruklah kerja keeper. Dalam skuad kebangsaan back four Malaysia disiplin tinggi dan lagi alert," katanya.
Serangan bertubi-tubi JDT ke gawang NSFC juga mungkin antara yang punca menyebabkan Syihan hilang fokus. — Facebook
2) Hilang fokus
Serangan bertubi-tubi JDT ke gawang NSFC juga mungkin antara yang punca menyebabkan Syihan hilang fokus.
"Akibat dibolosi banyak gol, Syihan mungkin hilang fokus," Rahim Park Yim.
Jadual yang padat dan kurang rehat juga antara faktor yang mungkin mengganggu konsentrasi pemain berusia 26 tahun itu di atas padang.
Ia dapat dilihat apabila Syihan mungkin hilang fokus di hujung perlawanan yang menyebabkan gawang NSFC bolos tiga kali ketika berdepan serangan KDA FC.
Air hujan yang bertakung di permukaan padang menyebabkan perlawanan antara NSFC dan KDA FC terpaksa ditunda. — Facebook
3) Keadaan padang
Dalam pertemuan menentang KDA FC, keadaan padang yang lembap ekoran hujan lebat berterusan pada hari sebelum perlawanan mungkin menyebabkan Syihan mudah tewas di hadapan gol.
Sepatutnya perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, Negeri Sembilan itu dijadual berlangsung pada 7 Oktober namun ditunda keesokan hari kerana air hujan yang bertakung di permukaan padang menyebabkan perlawanan tidak sesuai dijalankan.
Keadaan padang yang basah sedemikian pastinya memberikan cabaran kepada pemain termasuk penjaga gol.
Untuk perlawanan Liga Super pada Selasa, NSFC bakal bertemu Melaka United. Negeri Sembilan kini berada di kedudukan keempat Liga Super dengan 38 mata selepas mengharungi 20 perlawanan.
Jika The Jang dapat menambah mata dan naik ke tangga ketiga carta liga, pasukan kendalian K Devan itu akan berpeluang cerah untuk ke kejohanan AFC musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram