MENJELANG penghujung saingan Liga Super, perebutan untuk mengisi slot kelayakan Piala AFC 2023 semakin hangat apabila masih pecutan akhir semakin dirasai antara beberapa pasukan teratas liga.
Prestasi terumbang-ambing pasukan di tempat kedua, Sabah FC apabila hanya mengumpul lima mata dalam lima perlawanan terakhir jelas membuka ruang buat beberapa pasukan lain mengintai peluang beraksi di pentas Asia
Tidak cukup dengan itu, Terengganu FC kini mempunyai peluang cerah untuk melayakkan diri selepas mendapatkan rentak dengan memenangi kesemua perlawanan liga meskipun tumpas di pentas akhir Piala FA 2022.
Namun, salah satu pasukan yang membuat kejutan pada saingan Liga Super ialah Negeri Sembilan FC (NSFC) yang juga belum mengibarkan bendera putih untuk beraksi di Piala AFC musim depan.
Selepas 19 perlawanan, skuad kendalian K Devan berjaya mengumpul 35 mata serta mempunyai rekod pertahanan yang cemerlang apabila hanya dibolosi sebanyak 21 kali.
Namun, dalam perlawanan baru-baru ini, skuad Jang Hobin dimalukan di Stadium Sultan Ibrahim selepas Johor Darul Takzim (JDT) mudah menjaringkan lima gol tanpa dibalas.
Kekalahan itu menyukarkan harapan skuad Jang Hobin untuk beraksi di pentas Asia selepas jatuh ke tangga keempat dengan skuad Sang Penyu berjaya memintas mereka.
Selain itu, keputusan dicatat itu juga merupakan kekalahan terburuk mereka musim ini meskipun mempunyai benteng pertahanan yang kental sepanjang tahun.
Perkara itu mendatangkan perasaan tidak senang dalam kalangan penyokong apabila berasakan pendekatan taktikal dengan pemain yang diturunkan pengendali NSFC, K. Devan tidak membuahkan sebarang hasil.
Antara perkara dipersoalkan adalah kehilangan penyerang, Gustavo dan benteng pertahanan, Herold Goulon sehingga menyebabkan pasukan itu tempang ketika berdepan cabaran Harimau Selatan.
Oleh itu, ketua jurulatih berusia 61 tahun tersebut tampil menjawab spekulasi melibatkan ketiadaan kedua-dua pemain import yang jelas dirindui.
Ketiadaan Goulon dan Gustavo dipersoalkan penyokong skuad Jang. — Facebook/Negeri Sembilan FC
"Pihak kejurulatihan mahu merehatkan mereka berdua untuk perlawanan akan datang kerana kita akan menghadapi tiga perlawanan dalam jadual yang padat dan Goulon juga mengalami sedikit kecederaan," katanya kepada Majoriti.
Berdasarkan jadual, NSFC bakal menerima kunjungan Kedah Darul Aman FC dan Melaka United sebelum berdepan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur.
Berdasarkan perkongsian itu, kerisauan itu adalah wajar apabila ketiga-tiga perlawanan itu bakal dihadapi dalam sembilan hari yang menjadi satu cabaran di atas tahap kecergasan pemain.
Dalam masa sama, Devan menjelaskan barisan pemain yang diturunkan ketika berdepan JDT juga bukanlah ideal apabila terdapat pemain yang jarang diturunkan sepanjang musim.
"Ketiga-tiga pemain pertahanan, iaitu Khair Jones, Che Rashid Che Halim dan Nasrullah Haniff jarang diturunkan bersama-sama, jadi ia satu kesukaran untuk melakukan komunikasi yang terbaik.
"Saiful Ridzuwan pula diturunkan selepas hampir sebulan tidak beraksi, jadi dia tidak dapat menunjukkan tahap kecergasan seperti biasa yang dia main sebelum ini.
"Selain itu, pemain muda, Selvan Anbualagan diturunkan bersama Zaquan Adha dan Matheus Alves dengan bertujuan untuk memberikan pendedahan buat dia," kata Devan.
Tambahnya, kegagalan untuk mendapatkan sebarang mata dalam perlawanan itu juga tidak memberi tekanan besar apabila dia turut berasakan kedudukan Negeri Sembilan FC ketika ini sudah menjadi satu kejutan.
Devan juga percaya anak-anak buahnya mampu fokus dalam baki-baki perlawanan dengan mereka hanya dibezakan dengan satu mata berbanding Sabah FC dan terikat dengan kutipan mata bersama Terengganu FC.
Sementara itu, Devan juga berkata, pihak pengurusan masih tidak menerima sebarang tawaran rasmi daripada pasukan lain yang berminat dengan khidmat tonggak pasukan, Khuzaimi Piee dan Syihan Hazmi.
"Buat masa ini, apa yang kita baca dalam surat khabar dan media sahaja, tetapi kami masih belum menerima permintaan rasmi daripada kelab untuk kedua-dua pemain ini.
"Jadi, apa yang kita baca ini, hanya daripada akhbar dan mereka sememangnya setia dengan Negeri Sembilan dalam masa akan datang," tegasnya.
Ketika ini, Khuzaimi dikaitkan dengan perpindahan keluar untuk menyertai Selangor FC sementara Syihan Hazmi dikhabarkan bakal menggantikan Farizal Marlias di JDT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram