TIADA siapa mampu menyangkal kehebatan penjaga gol nombor satu Johor Darul Takzim (JDT), Farizal Marlias setelah dia merekodkan banyak kejayaan dalam saingan domestik atau peringkat antarabangsa.
Antara kejayaan yang sudah dikecapi Farizal sehingga kini apabila dia mengekalkan rekod selama empat musim berturut-turut selaku penjaga gol terbaik Malaysia dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK).
Benteng pertahanan Terakhir berusia 36 tahun tersebut pernah menjadi tunjang kejayaan JDT sewaktu mereka menjuarai saingan Piala AFC 2015 ketika menewaskan kelab Tajik, Istiklol.
Menerusi Facebook Kulai Supporters, penyokong JDT mengucapkan penghargaan kepada pemain kelahiran Pahang tersebut apabila dinobatkan sebagai penjaga gol paling kebal Liga Super 2022.
"Tirai Liga Super 2022 bukan sekadar dinoktahkan dengan kejuaraan kali kesembilan untuk JDT, malah turut menobatkan penjaga gol JDT, Farizal Marlias sebagai penjaga gol paling kebal Liga Super 2022.
Farizal Marlias mencatatkan jumlah clean sheets tertinggi dengan pencapaian 11 kali sekali gus mengatasi pencapaian Kalamullah Al-Hafiz (sembilan clean sheets) dan Syihan Hazmi (tujuh clean sheets). Tahniah Farizal Marlias," tulisnya.
Namun, ucapan itu mendapat respon sinis penyokong bola tempatan kerana mereka merasakan Farizal tidak lagi sehebat masa mudanya dan kejayaannya itu adalah hasil kekebalan pemain-pemain pertahanan JDT yang memudahkan tugasnya.
Buktinya, ketika barisan pertahanan tergugat ekoran asakan pemain-pemain Urawa Reds pada saingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL), Farizal kelihatan hilang arah sehingga skuad itu dimalukan dengan kekalahan 0-5 kepada pasukan Jepun tersebut.
Ketangkasan Syihan melakukan 'save' pada saingan Piala Raja Thailand di Chiang Mai pada Setember lalu menerima pujian ramai. — Facebook/ FAM Malaysia
Menurut mereka, sekiranya Farizal diletakkan dalam pasukan lain di Liga Malaysia (Liga M), dia tidak akan mampu mencapai status clean sheet terbanyak seperti yang dicanang-canang.
"Ucap tahniah sahaja sudahlah. Cerita clean sheet siapa paling banyak, rezekilah kepada Farizal. Pasukan lain sendu nak serang dia pun bola tak sampai-sampai, dapatlah dia clean sheet.
"Bukan penjaga gol lain tak bagus, tapi penyerang mereka yang tidak bagus," komen Nazrul Fitri.
Jusob Shuib menyambung: "Kebal sebab pertahanan kuat. Pergilah pasukan lain, tengok boleh kalis gol ke tidak. Kalau betul, kenapa tak dapat jadi penjaga gol utama Harimau Malaya?
"Tak semestinya penjaga gol yang banyak clean sheets merupakan penjaga gol terbaik. Patut dinilai dari segi berapa banyak save dia buat, berapa banyak asakan dari pihak lawan.
"Sewaktu ACL, Farizal kecundang lima kali sebab pihak lawan banyak buat serangan. Kebanyakan perlawanan adalah hasil kekuatan pertahanan kita. Farizal tidak lagi relevan.
"Patut bagi peluang pada penjaga gol lain. Zaman Farizal sudah berakhir," jelas Ado Aku Kesah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram