Piala Malaysia platform terbaik 2 permata Harimau Kumbang asah taring


  • Podium
  • Selasa, 25 Okt 2022

Penang FC pastinya mahu mengubati kekecewaan musim ini pada saingan Piala Malaysia. — Facebook/Penang FC

AKSI saingan Piala Malaysia 2022 yang bakal membuka tirainya pada Rabu, sudah pasti akan memberi debaran buat 16 pasukan terlibat.

Apatah lagi, pasukan berkenaan tentu sudah melakukan latihan bermati-matian, bagi merebut piala kejohanan dianggap berprestij dalam saingan kali ini.

Antara pasukan turut tersenarai adalah skuad Penang FC yang bakal membuat pertembungan dengan skuad Liga Perdana, Kuching City FC pada Rabu.

Penang Football FC menerusi hantaran di laman Facebook mengakui bahawa, sememangnya bukan mudah untuk merobek kubu pertahanan lawan.

Oleh itu, katanya, kerjasama antara semua bahagian bermula dari bahagian pertahanan dan bahagian tengah menjadi asas kepada segala gempur sama seperti yang dirancang.

"Ini bukan lagi permainan untuk mendapatkan tiga mata penuh atau sekurang-kurangnya seri. Ini adalah 'do or die mission'.

"Dengan segala kudrat dan azam, serta satu hati sepasukan, moga-moga dapat direalisasikan hajat dan impian untuk melangkah sejauh boleh dalam kempen Piala Malaysia 2022 kali ini.

"Jika Piala FA, kita mampu melangkah hingga separuh akhir, maka sesukar mana pun misi ini, ia bukan suatu hal yang mustahil," tambahnya.

1758494

Daniel Irfan antara pemain yang patut diberi peluang beraksi pada Piala Malaysia. — Bernama

Tampil memberi semangat dalam kejohanan itu, seorang penyokong Penang FC, Zam Ibrahim mencadangkan agar dua lagi permata Harimau Kumbang diberi peluang ketika kempen Piala Malaysia.

Penyokong Penang FC itu berkata, dua pemain muda iaitu Adib Hakimi dan Daniel Irfan merupakan wajah-wajah yang selayaknya beraksi dalam kejohanan tersebut.

"Mereka adalah permata Pulau Pinang yang bakal menyinar dan menggegar bola sepak Malaysia beberapa musim mendatang," katanya.

Dalam saingan Liga Super 2022, Penang FC berada di tangga tercorot dengan hanya mengutip 11 mata, selain memperoleh dua kemenangan daripada 22 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram