Selain JDT, 3 kelab berpotensi julang Piala Malaysia


  • Podium
  • Jumaat, 21 Okt 2022

Siapakah bakal membawa pulang trofi Piala Malaysia dalam edisi ke-101 tahun ini? — MFL

TIDAK lama lagi, Piala Malaysia bakal menemui peminat bola sepak tempatan yang pastinya tidak sabar-sabar melihat pasukan masing-masing beraksi dalam kejohanan bersejarah itu.

Pada edisi tahun lalu, pasukan Lembah Klang, Kuala Lumpur City (KL City) membuat kejutan tersendiri apabila memenangi trofi itu dalam edisi ke-100 penganjurannya.

Lebih manis lagi, mereka memenangi kejuaraan itu apabila menundukkan sebuah pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) dengan skor 2-0 yang menggembirakan ribuan penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Musim ini, penyokong pastinya mengharapkan lebih banyak kejutan dengan beberapa kelab mula menunjukkan kemampuan masing-masing dalam saingan Liga Malaysia.

Selain pasukan-pasukan besar di Liga Super, ada juga segelintir skuad yang beraksi di Liga Perdana mampu mengejutkan orang ramai setelah satu persembahan mengujakan sepanjang musim.

Namun, siapakah di antara 16 pasukan yang bakal berentap dalam kejohanan itu mampu membawa pulang trofi Piala Malaysia, sekali gus mencatat kegemilangan tersendiri?

1. Selangor FC

Kehadiran ketua jurulatih baharu, Tan Cheng Hoe dalam skuad Selangor FC berjaya memberi nafas baharu buat skuad Gergasi Merah selepas memulakan musim dengan langkah kiri.

Meskipun pasukan itu mempunyai struktur kewangan yang kukuh, perancangan kurang teliti dan kemelut pengurusan menyaksikan pasukan itu menghampiri zon penyingkiran.

Bagaimanapun, pendekatan pemilik kelab, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah untuk membawa masuk ketua jurulatih berpengalaman itu berjaya membawa pasukan itu ke situasi yang lebih baik.

Pemilihan pemain utama dalam kesebelasan utama merupakan antara perkara yang diberi pujian penyokong Selangor dengan kepulangan beberapa pemain yang kian dilupakan seperti Norhakim Hassan dan Baha Abdel-Rahman.

Selain itu, kepercayaan Cheng Hoe kepada bakat-bakat muda jelas memberi kelebihan buat pasukan itu dengan Mukhairi Ajmal menjadi tonggak pasukan serta sumbangan penyerang muda, Danial Asri membuktikan kemampuan pasukan itu.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya pemerhati dan penyokong bola sepak mula meletakkan harapan tinggi kepada Selangor FC untuk merebut kejuaraan liga musim depan.

307119946_535263641938702_1967291308773612789_n

Kehadiran Cheng Hoe berjaya mengubah nasib dan musim skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Namun, mereka percaya bahawa langkah demi langkah perlu diambil sebelum satu pencapaian lebih bermakna mampu direkodkan buat masa-masa akan datang.

Piala Malaysia hujung bulan ini dilihat sebagai medan sempurna untuk Cheng Hoe membuat penilaian awal terhadap anak-anak buahnya, sekali gus menerapkan falsafah bola sepaknya secara lebih mendalam.

Mereka bakal memulakan aksi dengan pertemuan bersama pasukan Liga Perdana, Kelantan United di tempat lawan pada 26 Oktober sebelum berpeluang bertemu Kedah Darul Aman FC atau Negeri Sembilan FC di peringkat suku akhir.

Cheng Hoe pastinya mengharapkan sentuhan magisnya bersama skuad Gergasi Merah berterusan selain bercita-cita kejayaan pada 2016 bersama Kedah FA mampu berulang.

2. Sabah FC

Pertukaran format kelayakan ke Piala AFC musim depan meranapkan impian anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee untuk beraksi di pentas Asia selepas satu musim yang membanggakan.

Kegoyahan skuad ketika menghampiri penutup liga menyaksikan pasukan itu tergelincir ke kedudukan ketiga walaupun meluangkan majoriti musim di tangga kedua.

Selain itu, kekurangan pemain berkualiti di setiap posisi juga menyukarkan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu untuk merehatkan tonggak pasukan dalam satu musim yang padat.

Kekecewaan itu pastinya menjadi pemangkin semangat buat skuad Sang Badak untuk layak ke Piala AFC selepas kali terakhir beraksi di kejohanan serantau itu pada 1995.

Meskipun mereka memulakan saingan Piala Malaysia dengan pertemuan bersama UiTM FC, pemain dan barisan kejurulatihan Sabah FC pastinya tidak mahu memandang rendah pasukan itu.

312077704_3366439780269798_8895817827343745893_n

Kekalahan di tangan JDT menyekat hasrat Sabah FC untuk beraksi di pentas Asia musim depan. Facebook/Sabah FC

Di samping itu, perancangan rapi semestinya dilakukan ketua jurulatih berusia 51 tahun itu dengan mengenal pasti barisan pasukan terbaik serta pendekatan optimum.

Sekiranya mereka berjaya menepikan cabaran UiTM FC, mereka bakal berdepan antara Kuching City FC atau Penang FC dengan majoriti penyokong Sang Badak tidaklah melihat perkara itu sebagai satu tekanan.

Bagaimanapun, halangan getir menanti pasukan itu tatkala pasukan Borneo itu dijadualkan bertemu dengan JDT di separuh akhir sekiranya skuad Harimau Selatan itu mudah menepis cabaran lawan.

Oleh itu, Kim Swee pastinya melakukan persiapan awal untuk mendapatkan 'resipi' terbaik sepanjang kejohanan itu, sekali gus menamatkan kemarau trofi buat berbelas-belas tahun.

3. Terengganu FC

Selepas menamatkan saingan liga di tangga kedua, Terengganu FC berjaya melayakkan diri ke Piala AFC musim depan serta berjaya menaikkan lagi reputasi pasukan Pantai Timur itu.

Sentuhan ketua jurulatih berpotensi cerah, Nafuzi Zain ke atas skuad Sang Penyu jelas membuahkan hasil walaupun segelintir penyokong pernah mempersoalkan kredibilitinya ketika pembukaan musim.

Namun, skuad Sang Penyu pasti tidak melihat musim ini satu musim yang cemerlang apabila mereka masih gagal untuk membawa pulang satu trofi selepas kali terakhir pada 2011.

Kekalahan yang dialami ketika pentas akhir Piala FA di tangan JDT seakan-akan sukar untuk diterima, apatah lagi dengan pemain menampilkan persembahan mengecewakan.

Jadi, Piala Malaysia menjadi satu medan terbaik untuk Nafuzi membawa pulang sekurang-kurangnya satu trofi dalam salah satu musim terbaik sepanjang tempoh kejurulatihan singkatnya itu.

Pertemuan dengan pasukan di tangga ketujuh, Sri Pahang FC bukanlah satu perkara yang mudah dengan skuad Tok Gajah juga pastinya mengejar kejuaraan bermakna itu.

WhatsApp Image 2022-10-20 at 20.10.10

Kapten Terengganu FC, Tchetche Kipre (duduk kiri) selepas tewas di pentas akhir Piala FA. — Facebook/Terengganu FC

Tidak cukup dengan itu, mereka turut berpeluang berdepan pemegang takhta Piala Malaysia, KL City FC di peringkat suku akhir sekiranya kedua-dua pasukan mara dengan keupayaan sendiri.

Bagaimanapun, penyokong bola sepak tempatan pastinya menyedari akan kemampuan anak-anak buah Nafuzi selepas mereka menamatkan saingan liga dengan satu rekod cemerlang.

Kemenangan sembilan kali berturut-turut dilihat sebagai satu tonik berharga buat skuad Sang Penyu yang mengharapkan prestasi cemerlang itu dapat diteruskan.

4. Johor Darul Takzim

2022 merupakan salah satu tahun yang membanggakan buat JDT selepas mereka memastikan tiada pasukan lain mampu memberi cabaran terhadap cengkaman mereka dalam Liga Super.

Lebih menarik lagi, JDT berjaya membawa pulang trofi keramat itu tanpa merekodkan sebarang kekalahan dalam 22 perlawanan meskipun terdapat perubahan wajah kejurulatihan pada pertengahan musim.

Selain itu, kejayaan di Piala FA membawa kegembiraan buat penyokong Harimau Selatan selepas kali terakhir mereka melihat kejayaan itu kira-kira enam tahun lalu.

Kini, fokus mereka pastinya tertumpu ke arah Piala Malaysia dalam usaha mencatatkan kejuaraan 'quadruple' dengan Piala FA dan Liga Super sudah berada dalam dakapan.

311461766_2416459591850659_2997530127289378903_n (1)

JDT muncul sebagai juara Liga Super buat sembilan kali berturut-turut. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Meskipun mereka sudah muncul sebagai juara Piala Sumbangsih 2022, pemain pastinya lebih mendahagakan kemenangan dalam kejohanan itu selepas kekalahan yang dialami pada edisi lalu.

Musim ini, mereka bakal memulakan kempen dengan pertemuan bersama pasukan kerdil tanah air, Petaling Jaya (PJ) City sebelum berpeluang bertemu sama ada Kelantan FC ataupun Sarawak United di peringkat seterusnya.

JDT pastinya tidak mahu memandang rendah pasukan Liga Super itu meskipun umum mengetahui terdapat jurang perbezaan ketara di antara kedua-dua pasukan.

Selain itu, majoriti penyokong juga melihat laluan JDT ke perlawanan akhir tidaklah segetir apa yang diharapkan dengan cabaran besar berkemungkinan bermula di peringkat separuh akhir menentang Sabah FC.

Namun, anak-anak buah Hector Bidoglio semestinya tidak mahu mendabik dada dengan melakukan persiapan rapi untuk setiap perlawanan bagi membolehkan mereka muncul sebagai pasukan pertama dengan empat trofi dalam satu musim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram