SATU musim yang tidak menyebelahi Penang FC apabila hanya mampu menamatkan kempen Liga Super 2022 dengan menghuni kedudukan tercorot iaitu meraih dua kemenangan dari 22 perlawanan.
Meskipun menukar seramai dua orang pengendali pada musim ini, ia masih tidak dapat membantu untuk Penang FC memperbaiki kedudukan mereka dalam saingan liga.
Penukaran ketua jurulatih bermula apabila Datuk Zainal Abidin Hassan dipanggil untuk menggantikan Tomas Trucha pada Ogos lalu namun ia hanya bertahan sehingga awal Oktober lalu.
Hal ini kerana, pada 12 Oktober lalu Penang FC mengambil tindakan drastik melantik Manzoor Azwira Abd Wahid sebagai pengendali baharu skuad Harimau Kumbang bagi menggantikan Zainal Abidin.
Manzoor Azwira bukan nama asing dalam bola sepak Pulau Pinang apabila pernah membawa Harimau Kumbang menjulang kejuaraan Liga Perdana pada musim 2020.
Manzoor Azwira dilantik sebagai pengendali Penang FC untuk menghadapi Piala Malaysia. — Facebook/Penang FC
Meskipun ramai penyokong bersetuju dengan keputusan skuad Harimau Kumbang namun ada juga pihak yang mengatakan bahawa pemecatan Zainal Abidin hanya merosakkan rancangan jurulatih berusia 60 tahun itu.
Zainal Abidin difahamkan sudah menyusun rancangan rapi untuk memperbaiki Penang FC pada musim depan dan salah satu daripadanya ialah melakukan rombakan pemain.
Dengan pengaruh yang ada pada pengendali kelahiran Selangor itu, beliau dikatakan mampu membawa masuk tonggak Melaka United, Sony Norde.
Sony merupakan bekas pemain Zainal Abidin sewaktu beliau melatih Melaka United pada musim 2018 sehingga awal Januari 2022.
Kepakaran Sony diburu beberapa kelab Liga Super termasuklah Penang FC. — Facebook/MUFC
Maka tidak hairanlah jika pemain kelahiran Haiti itu akan terbuka hati untuk berhijrah ke Penang FC kerana ingin bermain di bawah taktikal Zainal Abidin meskipun terpaksa menolak tawaran dari pelbagai kelab Liga Super.
Antara kelab yang ingin mendapatkan khidmat Sony ialah Sabah FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan juga Selangor FC.
Kemasukan Sony ke Penang FC akan memberi impak yang kuat lagi-lagi jika dia digandingkan dengan penyerang import berbisa skuad Harimau Kumbang, Lucas Silva.
Bagaimanapun, gandingan duo itu mungkin tidak akan dilihat oleh penyokong Penang FC berikutan Zainal Abidin tidak lagi mengendali Penang FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram