PRESTASI sesebuah pasukan bola sepak bergantung pada keserasian keseluruhan barisan pemain yang mampu memainkan watak-watak mereka dengan cemerlang.
Tidak kira betapa handalnya seorang pemain tersebut, semuanya akan menjadi usaha tidak bersahut sekiranya rakan sepasukan tidak mampu menyamakan tempo sebagai satu pasukan.
Perkara itu berlaku kepada pemain import Penang FC, Hilal El-Helwe yang dilihat kurang menyengat sepanjang menyarung jersi Harimau Kumbang sepanjang musim ini.
Meskipun berhasil menyumbang lima gol dan dua bantuan gol, Hilal masih tidak mampu untuk 'menyelamatkan' juara Liga Perdana 2020 itu daripada muncul sebagai pasukan tercorot Liga Malaysia 2022.
Sebelum menyertai Penang FC, pemain berusia 27 tahun tersebut memiliki rekod cemerlang sebagai penyerang apabila mencatatkan sebanyak 47 gol serta 28 bantuan gol setelah beraksi dalam 217 perlawanan.
Bagi aksi bersama skuad kebangsaan, Hilal sudah membuat 30 penampilan bersama Lebanon dan menyumbang sembilan gol.
Pada Khamis, Penang FC membuat pengumuman bahawa kontrak Hilal ditamatkan atas dasar persetujuan bersama atas faktor keadaan kesihatan bapanya yang memerlukan dia kembali ke Jerman secepat mungkin.
Namun, sekiranya Hilal sudah bersedia untuk kembali ke kancah bola sepak domestik, berikut merupakan beberapa pasukan yang wajar mendapatkan khidmat pemain berketinggian 1.86 meter itu.
Tae-su dilihat seakan-akan mengambil 'alih' tugas penjaring buat Sabah FC. Facebook/Sabah FC
1. Sabah FC
Umum mengetahui Sabah FC ketandusan penyerang setelah pemain import mereka, Jose Embalo hanya Indah khabar daripada rupa setelah hanya berhasil menyumbang satu gol sepanjang saingan Liga Super.
Bahkan, tanggungjawab tersebut seakan-akan beralih ke tonggak pemain tengah, Park Tae-su yang menyumbangkan sebanyak lapan jaringan buat skuad Sang Badak.
Anehnya, ketiadaan Tae-su pada aksi akhir Liga Super menentang Johor Darul Takzim dikatakan antara punca Sabah FC hilang arah sekali gus terlepas slot automatik ke pentas Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sedangkan dia bukan penyerang.
Dengan kelompongan itu, Sabah FC mampu menutup tirai kempen Liga Super di tangga ketiga selepas mudah dipintas Terengganu FC.
Justeru, kehadiran Hilal mampu mengisi kekurangan pada skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee sekali gus meletakkan tanggungjawab penyerang kepada pemain sepatutnya.
Prestasi Caion (dua dari kanan, dibelakang) semakin merosot. — Facebook/Selangor FC
2. Selangor FC
Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe bakal menggunakan saingan Piala Malaysia untuk menguji para pemainnya sebelum memutuskan barisan yang akan berada di bawah kendaliannya musim hadapan.
Prestasi tempat tonggak import, Herlison Caion de Sousa dilihat semakin menurun dan pemain itu juga sudah lama tidak menjaringkan gol untuk pasukan Selangor FC sehingga peminat minta supaya dia digantikan dengan seorang lagi penyerang tempatan, Muhammad Shahrel Fikri.
Caion yang pada permulaannya bermain dengan cemerlang apabila sering menghadiahkan gol buat pasukan Selangor FC mula bermain acuh tidak acuh semenjak Selangor FC mengalami kemelut prestasi.
Rata-rata peminat membayangkan hati pemain berusia 32 tahun itu tidak lagi bersama Selangor FC dan hanya menghitung hari sehingga kontraknya tamat pada hujung November 2022.
Sekiranya Caion tidak mahu menyambung kontraknya, Hilal boleh menjadi pengganti pemain Brazil tersebut dan menjadi gandingan ideal bersama seorang lagi penyerang import Selangor FC, Hyuri Henrique.
Perak FC membuatkan peminat tertany-tanya apabila mengeluarkan 'teaser' dua pemain baharu mereka. — Facebook/Perak FC
3. Perak FC
Baru-baru ini, The Bos Gaurus mengumumkan penyerapan dua bekas pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Harith Naem dan Ilham Aqil ke dalam projek Perak FC bagi musim 2023.
Harith yang juga merupakan bekas pemain Melaka United FC (MUFC) difahamkan akan bermain di posisi tengah manakala bekas pemain muda UITM FC dilihat bakal berperanan sebagai pemain sayap dalam pasukan.
Keputusan Teong Kim disambut baik penyokong Perak FC, namum mereka mahu penambahan pemain terus dilakukan kerana menurut mereka, barisan sedia ada masih belum cukup kuat untuk mencapai misi 2023.
Antara punca pendapat tersebut diutarakan adalah kerana setakat ini, Perak FC dilihat bakal dibarisi pemain-pemain muda yang masih mentah dalam menghadapi cabaran besar bertemu pasukan-pasukan dengan pemain lebih senior di liga M.
Oleh itu, kehadiran Hilal yang memiliki pengalaman domestik dan antarabangsa mampu membimbing skuad muda Perak FC untuk membawa skuad Seladang ke misi yang disasarkan pasukan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram