TIADA kata-kata yang lebih sesuai untuk menceritakan mengenai nasib Penang FC musim ini selepas berada di kedudukan tercorot dalam Liga Super.
Penyingkiran memalukan di tangan Johor Darul Takzim (JDT) di peringkat separuh akhir Piala FA dengan skor 1-6 menambah tekanan kepada skuad Harimau Kumbang selepas satu tahun yang cemerlang sebelum ini.
Majoriti penyokong berpendapat kemerosotan itu berpunca daripada konflik kejurulatihan apabila pembantu jurulatih, Manzoor Azwira dilantik sebagai pengendali meskipun sedang menjalani kursus lesen Pro A.
Namun, ada juga yang mengatakan kehilangan pemain ketika jendela perpindahan, seperti Al-Hafiz Harun ke Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan David Rowley ke Sri Pahang FC menjejaskan kemampuan pasukan.
Perkara itu juga dibuktikan dengan persembahan kurang menyenangkan di atas padang dengan rekod serangan dan pertahanan skuad berada di tahap tercorot dalam liga.
Perubahan secara drastik pasti dilakukan pihak pengurusan sebelum liga musim depan bermula bagi memastikan pasukan itu dapat bersaing dengan lebih baik.
Pengambilan wajah-wajah baharu semestinya menjadi agenda utama pasukan dengan mengenal pasti barisan pemain terbaik berpandukan pendekatan taktikal ketua jurulatih.
Bagaimanapun, dengan jendela perpindahan hanya akan dibuka selepas kejohanan Piala Malaysia, pasti pelbagai khabar angin berlegar di media sosial untuk mencari pemain yang boleh dibawa masuk.
Antara nama yang dipetik penyokong setia Harimau Kumbang ialah bekas penyerang muda, Azrie Reza Zamri selepas berhijrah ke kelab Liga Perdana, PDRM FC awal musim lalu.
Persoalannya, mengapakah perkara itu diterima ramai meskipun pemain itu baru sahaja meninggalkan pasukan itu tidak lama sebelum ini?
1. Usia muda
Usia Azrie yang baru mencecah 24 tahun merupakan aset utama pemain itu. — Instagram/azriereza_
Musim ini, skuad Harimau Kumbang meletakkan tanggungjawab penyerang di bahu tonggak import, Casagrande dengan pemain tersebut melakukan sumbangan dengan jayanya.
Namun, sumbangannya secara jangka masa panjang mula dipersoalkan apabila penyerang kelahiran Brazil itu sudah berusia 32 tahun dan pastinya tidak dapat bermain di tahap yang sama pada musim depan.
Perkara itu membuka jalan untuk Azrie dengan dia hanya berusia 24 tahun dan ia semestinya membolehkan barisan kejurulatihan meletakkan dia dalam pasukan untuk satu tempoh panjang.
Selain itu, seperti yang difahami, pemain muda sering mempunyai semangat dan keazamaan berbeza berbanding mereka yang lebih senior dalam sesebuah pasukan.
Kehadiran Azrie ke dalam skuad Penang FC pasti memberikan fleksibilti terhadap pendekatan permainan dengan pemain itu boleh diturunkan di posisi tengah mahupun di jentera serangan.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila penyokong mula berharap Azrie dibawa pulang bagi membolehkan barisan serangan tampil dengan lebih bersemangat.
2. Keserasian dalam skuad
Azrie (kanan) pernah beraksi dalam skuad Piala Presiden Penang FC sebelum memulakan karier profesional. — Instagram/azriereza_
Sebelum memulakan karier profesionalnya, Azrie beraksi dalam skuad Piala Presiden Pulau Pinang dalam membolehkannya mendapat pengalaman bermakna.
Namun, disebabkan kekurangan kepercayaan daripada pihak pengurusan Penang FC memaksa Azrie untuk berhijrah ke PDRM FC meskipun pasukan itu beraksi di Liga Perdana.
Hal itu dilihat menjadi satu dorongan hebat buatnya apabila dia mula menarik perhatian beberapa pasukan Liga Malaysia, termasuk bekas majikannya itu.
Perkara itu diluahkan beberapa penyokong di media sosial termasuk Yus Hanamichi yang berpendapat kepulangannya mampu membantu Penang FC bersaing dengan lebih baik.
"Saya rasa, jika diambil pemain ini pastinya bertambah baik walaupun saya sendiri tidak pernah nampak dia bermain dalam skuad utama. Rekod jaringan dia dalam skuad Piala Presiden pun tidak kurang hebatnya," kata peminat itu.
Sekiranya Penang FC tidak mahu melakukan pelaburan secara terburu-buru, Azrie dilihat sebagai pembelian bijak dengan dia pastinya tidak menolak peluang untuk kembali.
3. Kos perpindahan murah
Azrie pernah menjulang trofi Liga Perdana bersama Penang FC. — Instagram/azriereza_
Tidak boleh dinafikan bahawa Penang FC bukanlah sebuah pasukan yang mempunyai struktur kewangan kukuh seperti beberapa kelab lain, seperti Johor Darul Takzim dan Selangor FC.
Hal itu memaksa pihak pentadbiran untuk melakukan aktiviti jual beli pemain dengan lebih cermat bagi mengelak pembaziran sehingga menyebabkan kerugian besar buat pasukan.
Jadi, mereka perlu membuat penilaian secara mendalam terhadap seseorang wajah baharu selain memastikan kos perpindahan tidaklah terlalu besar dan membebankan.
Azrie dilihat sebagai salah satu pilihan bijak apabila kehadiran dan pengalamannya di Liga Perdana tidaklah mendapat perhatian besar terutama daripada pihak media.
Selain itu, sekiranya Penang FC masih tidak yakin akan kebolehannya, kemasukan secara pinjaman membolehkan barisan kejurulatihan membuat penilaian awal terhadap pemain itu.
4. Kehilangan Hilal Al-Helwe
Pemain Lubnan ini bakal meninggalkan skuad Harimau Kumbang musim depan. — Facebook/Penang FC
Sumbangan pemain antarabangsa Lubnan, Hilal El-Helwe dalam skuad Harimau Kumbang tidak boleh dipandang rendah selepas dia berjaya menyumbat lima gol sepanjang kempen ini.
Namun, baru-baru ini, satu kenyataan rasmi dikeluarkan apabila pemain berusia 27 tahun itu bakal meninggalkan landskap bola sepak tempatan atas sebab peribadi.
Pengaruh Hilal sebagai pemain tengah berjaya merancang gerak geri pasukan menggunakan kelincahan kedua-dua kakinya selain keupayaan untuk membuat hantaran kemas.
Oleh itu, sekiranya Azrie dibawa masuk, dia mampu menjadi enjin pasukan menggunakan keupayaan dan kemampuannya dalam menggantikan peranan besar itu.
Walaupun tidak boleh dinafikan kehilangan itu adalah sesuatu perkara yang besar, kepercayaan perlu diletakkan penyokong dan ketua jurulatih sekiranya mereka berhasrat untuk membentuk seorang pemain berkualiti pada masa depan.
5. Kuota tempatan
Kehadiran Azrie dalam pasukan tidak boleh dipandang remeh. — Instagram/azriereza_
Perubahan struktur daripada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membolehkan sebanyak sembilan pemain import dalam pasukan berbanding lima ketika ini.
Oleh itu, kesemua pasukan Liga Malaysia termasuk Penang FC pasti akan rambang mata dengan peluang itu apabila tonggak import dikatakan mampu memberi sumbangan besar buat skuad.
Namun, mereka juga perlu berhati-hati dengan perkara itu apabila permintaan gaji mereka tidak berbaloi berbanding sumbangan di atas padang.
Tetapi, bagi Azrie pula, statusnya sebagai seorang pemain tempatan tidak boleh dipandang rendah dengan laporan mengatakan bahawa permintaan gajinya tidaklah membebankan.
Selain itu, kemasukan Azrie untuk membantu jentera serangan membolehkan pihak pengurusan membawa wajah import baharu untuk diletakkan di benteng pertahanan atau bahagian tengah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram