Kepulangan Lee Tuck, Aguero hadirkan mimpi indah penyokong Sri Pahang


  • Podium
  • Khamis, 20 Okt 2022

Aguero (kiri) dan Lee Tuck bakal diturunkan ketika kempen Piala Malaysia hujung bulan ini. — Facebook/Sri Pahang FC

SRI Pahang FC berjaya menamatkan saingan Liga Super di tangga ketujuh meskipun segelintir penyokong pada awalnya berasakan pasukan itu bakal bergelut sepanjang musim.

Pertukaran ketua jurulatih pada pertengahan musim menyaksikan pengendali berpengalaman, Datuk Dollah Salleh pulang ke pangkuan pasukan itu dalam usaha menambah baik kedudukan mereka.

Meskipun tidak boleh dinafikan skuad Tok Gajah mengalami sedikit ketidak-tentuan sepanjang musim, semangat juang yang diterap ke dalam setiap pemain membantu menambah baik kedudukan mereka.

Kini, selepas menempuhi cabaran liga, fokus Sri Pahang FC pastinya tertumpu ke arah saingan Piala Malaysia yang bakal bermula hujung bulan ini.

Bagaimanapun, mereka bakal berdepan halangan getir apabila perlu bertemu naib johan Liga Super, Terengganu FC dengan skuad Sang Penyu merekodkan satu prestasi memberangsangkan.

Kemenangan sembilan kali berturut-turut dalam liga membuktikan kemampuan anak-anak buah Nafuzi Zain yang pastinya mahu menamatkan kempen musim ini dengan sekurang-kurangnya satu trofi.

Kekalahan di tangan Johor Darul Takzim (JDT) di pentas akhir Piala FA menyaksikan kemarau kejuaraan Terengganu FC berterusan dengan Piala FA 2011 merupakan kejuaraan terakhir mereka.

Oleh itu, mereka pastinya lebih dahaga dalam kempen kali ini dan ia pastinya mendatangkan perasaan gentar kepada penyokong serta pihak pengurusan Sri Pahang FC.

300224612_1531362533961089_1680002580322504877_n

Terengganu FC berjaya membenam Sri Pahang FC kali terakhir mereka berdepan antara satu sama lain. — Majoriti

Namun, kepulangan dua pemain import, Lee Tuck dan Sergio Aguero ke dalam skuad seakan-akan menjadi pemangkin semangat, lebih-lebih lagi kepada peminat tegar Tok Gajah.

Kedua-dua tonggak pasukan itu sebelum ini tidak dapat diturunkan dalam kesemua perlawanan liga berikutan isu pendaftaran dengan kuota pemain import sudah diisi.

Tetapi, nasib mereka berubah selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan status naturalisasi kepada Lee Tuck dan Aguero, sekali gus membolehkan mereka diturunkan ketika saingan Piala Malaysia.

Lee Tuck sememangnya seorang figura yang dikenali dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas tempoh tiga tahun bersama Terengganu FC berjaya melonjakkan namanya.

Bagi Aguero pula, kariernya pernah gilang-gemilang ketika menyumbang bakti bersama Penang FC selain beberapa pasukan Liga Malaysia, termasuk Perak FC dan Sarawak United FC.

Jadi, kepulangannya ke dalam skuad Tok Gajah pastinya mendatangkan kegembiraan buat penyokong selain percaya bahawa mereka mampu mengatasi Terengganu FC.

"Hati-hati Sang Penyu, dua pemain tengah Sri Pahang FC buat pertama kali muncul dalam kempen piala Malaysia kali ini, iaitu Lee Tuck & Sergio Aguero," kata Wahab Ismail.

"Sri Pahang ialah pasukan yang akan memberi saingan kepada kelab-kelab lain. Tak mustahil sekiranya Sri Pahang rebut juara Piala Malaysia dan Liga Super pada 2023," kata Azim Asyraf.

"Semoga barisan penyerang Sri Pahang, termasuk Lee Tuck dan Aguero berjaya mencetak seberapa banyak jaringan gol dan layak ke separuh akhir. Aamiin," kata Ali Zam. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram