Bojan dedah SNBJ venue final Piala AFC, tapi PSM masih berteka-teki


  • Podium
  • Rabu, 12 Okt 2022

Bojan Hodak tidak melihat perubahan itu bakal memberi banyak perubahan di atas pendekatan taktikalnya. — Stadium Astro

KETUA jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak mengesahkan perlawanan akhir Piala AFC menentang kelab Oman, Al Seeb pada 22 Oktober ini bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di ibu negara.

Perlawanan yang sebelum ini dijadualkan bakal diadakan di Stadium Bolasepak Cheras, Kuala Lumpur terpaksa diubah berikutan keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mendapati stadium itu tidak mencapai standard diperlukan.

Jelas Bojan, masalah penggunaan video bantuan pengadil (VAR) dan isu kecerahan lampu limpah yang tidak memenuhi 1800 lux adalah dua punca mengapa lokasi itu diubah.

"Ya, final akan diadakan di Bukit Jalil kerana ada isu teknikal iaitu lampu limpah yang perlu mencapai 1800 lux dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras tidak boleh mencapai tahap itu.

"Isu lain pula adalah mengenai VAR, pihak pengadil akan menggunakan sistem itu dalam perlawanan akhir dan ia boleh dipasang di Bukit Jalil dan tidak boleh dibuat di Cheras," katanya kepada Majoriti.

Skuad Warga Kota mencipta kejutan di pentas Asia apabila mara ke final Piala AFC buat pertama kalinya selepas melepasi peringkat final Antara Zon dengan menumbangkan kelab Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 selepas terikat tanpa jaringan dalam 120 minit.

640px-Bukit_Jalil_National_Stadium-26

SNBJ dikatakan bakal menjadi venue perlawanan akhir Piala AFC 2022. Agensi

Kejayaan itu menyaksikan KL City hanya memerlukan 90 minit lagi untuk mengikut jejak Johor Darul Takzim (JDT) yang pernah menjulang Piala AFC pada 2015 selepas menewaskan FC Istiklol dari Tajikistan 1-0 di Dushanbe.

Namun, peluang anak-anak buah Hodak dilihat lebih baik apabila dipilih oleh AFC untuk mengadakan aksi perlawanan akhir di Kuala Lumpur, sekali gus beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri.

Dalam masa sama, ketika ditanya adakah perubahan itu akan mengubah pendekatan taktikalnya, ketua jurulatih kelahiran Croatia itu berkata, perkara itu tidak akan membawa impak besar dalam pertembungan itu.

"Ia tidak akan mengubah sepenuhnya taktikal pasukan, tetapi pemain KL City bermain secara kerap di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dan mereka lebih selesa di padang itu.

"Di SNBJ pula, kebanyakan perlawanan adalah untuk aksi skuad kebangsaan dan pentas akhir yang mana tidak ramai daripada pemain pasukan pernah beraksi di padang itu. Kali terakhir kami bermain di situ adalah dalam perlawanan akhir Piala Malaysia sebelum ini," katanya.

Sementara itu, dalam mendapatkan maklumat lanjut, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berkata, pihaknya masih belum ada jawapan lanjut mengenai perkara tersebut.

"Ketika ini, pihak dan pegawai kami masih belum menerima apa-apa jawapan," kata salah seorang pegawai perbadanan itu kepada Majoriti.

Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sebelum ini pernah menganjurkan perlawanan akhir Piala AFC pada 2019, di mana pasukan Lubnan, Al-Ahed berjaya muncul sebagai juara bagi edisi tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram