KL City berdepan Sang Penyu tanpa 2 tonggak


  • Podium
  • Ahad, 09 Okt 2022

Mampukah KL City FC meneruskan rentak yang sama di Piala AFC dalam saingan Liga Super? — Facebook/KL City FC

KEJAYAAN Kuala Lumpur (KL) City FC untuk menempah slot ke perlawanan akhir Piala AFC membuka mata penyokong bola sepak tempatan akan kemampuan pasukan kerdil itu.

Skuad Warga Kota berjaya menghasilkan kemaraan bersejarah itu berterima kasih kepada sentuhan magis daripada ketua jurulatih berpengalaman, Bojan Hodak.

Percaturannya dalam memilih kesebelasan utama sering diberi pujian apabila pemain yang diturunkan berjaya menampilkan persembahan bersemangat setiap perlawanan.

Namun, pendekatan taktikalnya itu kelihatan sedikit terhad dengan KL City FC terpaksa memikirkan kepadatan jadual antara Liga Super dan Piala AFC.

Selepas ini, pasukan Lembah Klang itu bakal berdepan saingan sengit dalam liga apabila mereka akan menerima kunjungan pasukan di tangga ketiga, Terengganu FC.

Perkara itu pasti memberi sedikit kesukaran buat Hodak, lebih-lebih lagi dengan skuad Warga Kota baru sahaja pulang dari Uzbekistan selepas kempen Piala AFC.

Aksi 120 minit di Kompleks Sukan Sogdiana, Jizzakh pada Rabu itu semestinya menjejaskan tahap kecergasan pemain selain mereka perlu mengelak daripada dihurungi kecederaan.

Tetapi, bagi Hodak, KL City hanya akan kehilangan dua pemain dalam aksi ke-21 Liga Super itu, sekali gus percaya kesebelasan pertama terbaik dapat diturunkan.

Untitled design (5)

Jordan Mintah (kiri) dan Declan Lambert akan kempunan aksi Liga Super bertemu Terengganu FC. Facebook/KL City FC

"Untuk perlawanan dengan Terengganu FC, Declan tidak akan dapat diturunkan kerana sudah dilayangkan tiga kad kuning, jadi dia tidak boleh beraksi.

"Selain itu, Jordan (Mintah) pula dipinjamkan daripada pasukan itu, jadi dia tidak akan dapat diturunkan. Dua pemain itu akan direhatkan sementara pemain-pemain lain akan beraksi secara normal kerana tiada kecederaan lanjut," katanya kepada Majoriti.

Perkara itu pastinya memberi sedikit kesan terhadap KL City apabila khidmat Declan di posisi pertahanan kiri hanya tidak diturunkan sekali dalam aksi liga musim ini.

Bagi posisi penyerang pula, kehilangan Mintah mungkin tidak akan memberi impak besar apabila Hodak masih boleh mengharapkan penyerang kelahiran Colombia, Romel Morales.

Sementara itu, pengendali kelahiran Croatia itu turut menegaskan skuad terbaik akan beraksi dalam dua perlawanan terakhir liga meskipun terdapat sedikit kepadatan jadual.

"Ketika ini, hanya terdapat dua perlawanan liga berbaki dan pentas akhir Piala AFC, selepas ini kami akan bermain dalam Piala Malaysia, jadi ini bukanlah penghujung musim.

"Pemain terbaik perlu diturunkan dalam kesemua aksi ini. Jadi, tiada isu buat pasukan dan tonggak pasukan akan bermain ketika bertemu Terengganu FC dan Petaling Jaya (PJ) City FC," katanya.

KL City ketika ini berada di kedudukan kelima liga dan mereka pasti akan melakukan persiapan terbaik apabila bakal berdepan wakil Oman, Al-Seeb dalam perlawanan akhir Piala AFC pada 22 Oktober. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram