Turun 'full squad' jumpa KL City, TFC gentar mood baik Warga Kota


  • Podium
  • Selasa, 11 Okt 2022

Skuad Penyu menghuni di tangga ketiga liga dengan mengumpul 38 mata. — Facebook/TFC

TERENGGANU FC (TFC) akui satu-satunya cara untuk kejohanan antarabangsa, Piala AFC adalah dengan memenangi dua perlawanan terakhir dalam saingan Liga Super musim 2022.

Skuad Penyu ketika ini menduduki tangga ketiga, terikat dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) selain hanya dibezakan satu mata di belakang Sabah FC.

Perlawanan menentang Kuala Lumpur (KL) City FC pada Selasa ini dan aksi bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC yang dijadualkan 15 Oktober nanti bakal menjawab persoalan sama ada TFC berjaya melayakkan diri ke kejohanan AFC ataupun sebaliknya.

Menjelang perlawanan menentang finalis Piala AFC, KL City pada Selasa ini, pengendali Terengganu, Nafuzi Zain tidak dapat nafikan ia bakal menjadi perlawanan yang sengit.

NAFUZI ZAIM

Nafuzi berharap dalam dua perlawanan terakhir Liga Super, pemain-pemainnya mampu meraih tiga mata penuh. — Facebook/TFC

“KL tengah mood baiklah sebab mereka nak masuk final AFC nanti. Lagipun AFC lama lagi, mesti mereka ada preparation untuk AFC.

“Satu cara nak ke AFC memang kena menang. Memang tiada cara lain lagi,” katanya kepada Majoriti.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 44 tahun itu masih memberikan kepercayaan kepada anak-anak buahnya dalam aksi kedua terakhir Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu.

Malah, jurulatih kelahiran Kelantan itu juga bersyukur kerana kesemua pemainnya tidak mengalami sebarang kecederaan dan boleh diturunkan pada perlawanan menentang skuad Warga Kota.

TFC MAIN

Sebahagian pemain skuad Penyu sewaktu sesi latihan bagi perlawanan menentang KL City. — Facebook/TFC

“Persiapan itu macam biasa juga. Dalam dua perlawanan ini kita cuba dapatkan tiga mata.

“Pemain semua dapat diturunkan. Semua pemain tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.

Terkini skuad Penyu menghuni di tangga ketiga liga dengan mengumpul 38 mata manakala skuad The City Boys berada di kedudukan kelima dengan mengutip 29 mata hasil 20 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram