Nak berjaya musim depan? Penang FC perlu contohi KL City


  • Podium
  • Selasa, 11 Okt 2022

KL City FC terus mengejutkan peminat sukan bola sepak tanah air apabila bakal beraksi di pentas akhir Piala AFC 22 Oktober ini. — Gambar Facebook/KL City FC

PRESTASI Penang FC dilihat semakin merundum pada musim ini dengan pasukan itu hanya hanya mencatatkan dua kemenangan dalam 20 perlawanan setakat ini.

Meskipun berlakunya pertukaran staf kejurulatihan pada Mei lalu, perkara itu tidak banyak memberikan perubahan pada skuad Harimau Kumbang.

Kepulangan bekas ketua jurulatih, Datuk Zainal Abidin Hassan gagal membawa nafas baharu dengan majoriti penyokong masih berharap khidmatnya tidak diteruskan musim depan.

Selepas hanya berjaya membawa pulang 10 mata ketika ini, pasukan itu hanya mampu berada di kedudukan tercorot Liga Super walaupun mempunyai musim yang cemerlang pada tahun sebelumnya dengan menduduki tangga ketiga liga.

309600811_604326747874650_5009825246354043003_n

Penang FC hanya mampu berada di kedudukan tercorot carta Liga Super pada musim ini. — Gambar Facebook/Penang FC

Penyokong fanatik pasukan Black Panther, Mohammad Razman Abd Rahim meluahkan hasratnya ingin melihat pihak pengurusan skuad Harimau Kumbang menambah baik pasukan dan mencontohi Kuala Lumpur City (KL City FC) agar tidak ketinggalan dengan kelab lain.

"Haru biru jadi apabila hal-hal pengurusan tak dipegang oleh orang yang tahu atau pandai pasal bola sepak.

"Sepatutnya kena ada orang atas yang pandai pasal bola sepak seperti bekas pemain, contohnya macam Stanley Bernard dengan KL City, tengok pencapaian pasukan itu sekarang," katanya.

Di bawah pengurusan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab itu, skuad Warga Kota berjaya merekodkan kejayaan demi kejayaan kebelakangan ini.

Selepas menjulang Piala Malaysia pada awal tahun ini, pasukan kerdil itu terus mengejutkan peminat bola sepak tanah air apabila bakal beraksi di pentas akhir Piala AFC 22 Oktober ini.

Menariknya, KL City FC difahamkan beroperasi menggunakan kos rendah, baik dari segi pengurusan mahupun dalam menjaga kebajikan pemain.

Oleh itu, perkara itu pastinya menarik perhatian beberapa pasukan Liga Malaysia lain yang berhasrat untuk 'meniru' kejayaan yang berjaya dicapai skuad Warga Kota. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram