KL City hanya kelab kecil dengan bajet sedikit, Al Seeb SC tetap ada kelemahan — Bojan Hodak


  • Podium
  • Khamis, 06 Okt 2022

KL City akan berdepan wakil dari Oman, Al Seeb SC di pentas final Piala AFC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 22 Oktober depan. — Facebook/KL City FC

PERJALANAN Kuala Lumpur City (KL City FC) pada Piala AFC semakin indah apabila kelab dari Malaysia itu melangkah ke pentas final Piala AFC berdepan wakil dari Oman, Al Seeb SC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di ibu negara pada 22 Oktober ini.

Pengendali KL City, Bojan Hodak berkata, anak didiknya hanya tinggal selangkah untuk mengejutkan benua Asia selepas pasukannya langsung tidak diberikan sebarang harapan dan perhatian di awal musim.

Namun, dengan semangat dan motivasi selain keberkesanan taktikal dirancang, skuad Warga Kota berjaya melangkah ke final selepas melepasi halangan kelab Uzbekistan, PFC Sogdiana di peringkat final Antara Zon hasil kemenangan menerusi penentuan penalti 5-3 selepas terikat tanpa jaringan dalam 120 minit masa sebenar di Kompleks Sukan Sogdiana, Jizzakh pada Rabu.

Jelas Hodak, untuk aksi final dengan Al Seeb SC nanti, dia akan merangka strategi ampuh biarpun menyedari lawan dari Asia Barat itu bakal hadir dengan permainan menyerang dan agresif.

"Macam saya katakan, kami hanya sebuah kelab kecil dengan bajet yang sedikit tapi berjaya meraih pencapaian baik untuk bola sepak Malaysia. Pemain mahu mencipta sesuatu hingga ke akhir dan kami harap dapat capai sesuatu nanti.

BOJAN HODAK

Hodak akan merangka strategi ampuh biarpun menyedari kekuatan lawan Al Seeb SC. — Facebook/KL City

"Sebagai jurulatih saya akan mencari jalan untuk menghentikan mereka (Al Seeb), cuba menutup ruang dan cuba menghentikan pergerakan. Kami dah lakukannya di sini (Uzbekistan), di India (menang ke atas kelab Mohun Bagan di separuh akhir Antara Zon) dan perkara sama akan kami lakukan nanti.

"Walaupun jentera serangan mereka baik, tetapi mereka tetap akan ada kelemahan yang boleh diambil untuk kita lakukan serangan balas atau gunakan situasi bola mati. Kita akan cuba mengesan kelemahan dan susun strategi terbaik," katanya ketika dipetik menerusi laman web rasmi Piala AFC.

Untuk rekod, ini adalah penampilan kedua kelab dari Malaysia di pentas final Piala AFC selepas Johor Darul Takzim (JDT) mara sebelum mengukir sejarah hebat dengan muncul juara pada 2015 lalu.

Pada final 2015 itu, JDT menewaskan kelab Tajikistan, FC Istiklol dengan 1-0 hasil jaringan tunggal Leandro Velazquez untuk membawa kelab dari negara ini malah yang pertama di rantau ini, menjulang Piala AFC.

KL City berpeluang mengikut jejak skuad Harimau Selatan untuk memahat sejarah sebagai kelab kedua dari Malaysia dan Asia Tenggara memenanginya juga berjaya menumbangkan Al Seeb SC nanti.

kevinn

Kevin menyelamatkan satu sepakan lawan pada penentuan penalti. — Facebook/KL City

Mengulas aksi dengan PFC Sogdiana, Hodak akui pemainnya berjaya mengikut arahan diberi hingga menggagalkan jentera serangan tuan rumah untuk mencipta jaringan.

"Sebelum perlawanan saya sebutkan pasukan Uzbekistan berada tahap lebih tinggi daripada Malaysia dan kami jangkakan mereka akan mendominasi perlawanan.

"Tapi kami berjaya menghentikan gerakan mereka, hanya beberapa peluang dimiliki dan kami melakukan serangan balas dengan dua hingga tiga kali, namun kami tiada penyudah dan akhirnya ditentukan menerusi penalti," jelasnya.

Di penentuan penalti, KL City lebih bertuah untuk keluar selaku pemenang apabila penjaga gol Kevin Mendoza menyelamatkan satu sepakan lawan, manakala kesemua sepakan pemain KL City berjaya menerjah jaring untuk kemenangan 5-3. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram