KL City ke final Piala AFC, orang Perlis dapat nama


  • Podium
  • Khamis, 06 Okt 2022

KL City akan melayan kunjungan Al Seeb SC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, di Cheras pada 22 Oktober ini. — Facebook/KL City

KUALA Lumpur (KL) City terus mencipta memori indah terbaharu dalam kejohanan Piala AFC apabila mara ke final selepas menewaskan kelab Uzbekistan, PFC Sogdiana 5-3 menerusi penentuan penalti pada aksi final antara zon di Stadium Kompleks Sukan Sogdiana, Uzbekistan, pada Rabu.

Penjaga gol Kuala Lumpur, Kevin Ray Mendoza, menampilkan aksi cemerlang dalam perlawanan itu dengan menyelamatkan enam percubaan dari pihak lawan.

Kejayaan skuad Warga Kota itu menjadikan KL City sebagai pasukan kedua yang berjaya ke peringkat akhir Piala AFC selepas Johor Darul Takzim (JDT) pada 2015.

Bukan hanya penyokong The City Boys berbangga dengan kejayaan pasukan dibawah kendalian Bojan Hodak itu, malah seluruh peminat bola sepak tanah air membanjiri ucapan tahniah di ruangan komen media sosial rasmi KL City FC.

Tidak ingin ketinggalan, penaung dan presiden Kelab Bola Sepak Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Shahidan Kassim turut mengucapkan ucapan tahniah kepada KL City.

“Syabas! Kemenangan sepakan penalti mengangkat KL City FC sebagai juara Piala AFC 2022 antara zon dan sekaligus menempah pasukan KL City ke perlawanan akhir Piala AFC yang akan berlangsung pada 22 Oktober ini di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur,” tulis Shahidan Kassim pada laman rasmi Facebook miliknya.

WhatsApp Image 2022-10-06 at 4.34.13 PM

Tangkap layar komen dari Shahidan dan pempengaruh Facebook itu. — Facebook/KL City

Menarik perhatian pada ruangan komen hantaran Menteri Wilayah Persekutuan itu apabila nama negeri kelahirannya iaitu Perlis pula dipetik mendapat nama.

“Tahniah orang Perlis hebat,” komen pempengaruh Facebook, Mr. Kipidap Ayahanda Abdul Rani Kulub Abdullah.

Orang Perlis sentiasa hebat macam orang KL,” balas Ahli Parlimen Arau itu.

Sebelum ini, Kelab Bola Sepak KL pada Ogos mengumumkan perlantikan Shahidan Kassim sebagai penaung dan Presiden yang baharu bagi menggantikan tempat Tan Sri Annuar Musa.

Pasukan Lembah Klang itu bakal berjumpa kelab dari Oman, Al Seeb SC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, di Cheras pada 22 Oktober ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram