TIDAK dinafikan, kejayaan Kuala Lumpur (KL) City FC menempah tempat di slot final Piala AFC musim ini setelah mengharungi saingan sengit peringkat Asia sememangnya sesuatu di luar jangkaan.
Pasukan 'underdog' dalam liga tempatan itu mula mendapat perhatian apabila mereka berjaya merangkul gelaran Raja Asia Tenggara (Asean) apabila menjuarai Zon Asean selepas menewaskan kelab Indonesia, PSM Makassar 5-2 pada Ogos lalu.
Sejak itu, penyokong tempatan mula mengikuti perkembangan KL City di saingan Asia dan sebagai balasan, skuad The City Boys terus menerus mengirim berita gembira dengan kejayaan demi kejayaan.
Kini, skuad kendalian Bojan Hodak itu merupakan wakil tunggal kelab tempatan yang masih lagi kekal dalam persaingan peringkat antarabangsa setelah langkah Johor Darul Takzim (JDT) terhenti di Pusingan 16 kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan kemaraan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terhenti di peringkat separuh akhir Zon Asean.
Tangkap layar pertama dan kedua insta story TMJ pada Sabtu.
Ironinya di sini, JDT yang merupakan pasukan gergasi liga tempatan tewas 0-5 di tangan pasukan Jepun, Urawa Reds manakala pasukan yang dipandang sepi dalam liga tempatan mampu megah mara ke final.
Jika KL City berjaya menyarung mahkota 'Juara Asia', ini bermaksud pasukan di bawah pengurusan Stanley Bernard itu akan menjadi pasukan kedua setelah Harimau Selatan menjadi kelab kebangsaan pertama menjulang trofi kejohanan itu pada 2015.
Namun, di sebalik kegembiraan melihat satu lagi pasukan mampu melangkah jauh, terdapat desas-desus yang mengatakan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim tidak mengiktiraf kejayaan KL City.
Biarpun baginda telah menyampaikan ucapan tahniah serta menyatakan pujian secara terbuka kepada pasukan Lembah Klang itu, tetapi baginda dikatakan resah apabila satu pasukan 'underdog' bakal mencipta nama di Asia manakala JDT sekadar juara liga tempatan musim ini.
Menepis dakwaan tersebut, TMJ berkongsi hasil komunikasinya bersama pihak pengurusan KL City bagi membuktikan bahawa beliau sentiasa di belakang pasukan kerdil tersebut.
"Ada pihak yang tak habis-habis nak cari silap kita nak sensasikan cerita seolah-olah saya tak acknowledge kejayaan @klcityfootball dalam pertandingan AFC Cup. Sila lihat fakta dan bukan apa yang sesetengah makhluk nak spin," tulisnya sebelum berkongsi empat lagi tangkap layar perbualannya bersama pengurusan KL City.
Tangkap layar ketiga dan keempat Insta Story TMJ pada Sabtu
Berdasarkan perbualan tersebut, TMJ berharap Hodak dikekalkan dan pasukan KL City akan terus jauh dari masalah politik dalaman yang hanya akan merosakkan momentum skuad itu.
Putera Johor itu juga berharap skuad The City Boys dapat melayakkan diri ke kejuaran ACL pada musim depan secara automatik sekiranya mereka muncul juara pada perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung 22 Oktober ini.
Sebagai rekod, KL City mencipta kejayaan sensasi apabila mara ke pentas final Piala AFC buat pertama kali, sekali gus berpeluang mengulangi pencapaian JDT sebelum ini.
Pada aksi final Antara Zon, anak buah Hodak berjaya merantai pemain kelab Uzbekistan, PFC Sogdiana dengan kemenangan menerusi penentuan penalti 5-3 selepas terikat tanpa jaringan dalam aksi 120 minit di Kompleks Sukan Sogdiana, Jizzakh di Uzbekistan.
Kini, KL City hanya perlu menghadapi kelab dari Oman, Al Seeb sebelum sejarah baharu buat bola sepak tempatan tercipta lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram