Jang Hobin dan TFC cerah ke AFC, Sabah ada 'chance' jika JDT beri peluang


  • Podium
  • Selasa, 11 Okt 2022

Negeri Sembilan akan menentang Melaka United pada Selasa ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban. — Facebook/NSFC

DENGAN berbaki lagi dua perlawanan, saingan Liga Super 2022 bakal menemui penghujungnya dan setiap pasukan kini sedang berhempas-pulas untuk memburu kemenangan bagi memperbaiki kedudukan masing-masing.

Selepas Johor Darul Takzim (JDT) dinobatkan sebagai pemenang liga, mata tertumpu kepada pencarian naib johan dengan menyaksikan sebanyak tiga pasukan bersaing secara sengit.

Ketika ini, kedudukan itu dimiliki Sabah FC selepas berjaya mengumpul 39 mata dan hanya dibezakan dengan satu mata daripada dua lagi pasukan, Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC).

N9

NSFC kini menduduki carta keempat. — Facebook/NSFC

Selain itu, ketiga pasukan masih tidak mahu mengibarkan bendera putih untuk menamatkan saingan di kedudukan tiga teratas bagi membolehkan mereka beraksi di pentas Asia musim depan.

Antara ketiga-tiga pasukan itu, legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berpendapat, NSFC mempunyai peluang cerah untuk mendapat slot ke kejohanan antarabangsa.

Menurutnya, dengan satu perlawanan bermain di laman sendiri, ia sebenarnya memberi peluang buat skuad Jang Hobin memungut tiga mata berharga.

Negeri Sembilan akan menentang Melaka United pada Selasa ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban.

Manakala, bagi kedua-dua perlawanan pasukan Terengganu dan Sabah FC pula diadakan di gelanggang lawan.

TFC

TFC bertandang ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. — Facebook/TFC

Menurutnya, apabila beraksi di gelanggang lawan, peluang untuk sesebuah pasukan untuk menang adalah tipis.

“Saya rasa Negeri Sembilan akan berpeluang untuk ke kejohanan AFC. Sebab dia ada main home satu game dan perlawanan kedua mereka away lawan Pahang. Lawan Melaka mesti dia boleh lawan. Lawan Pahang mungkin susah.

“Bagi Sabah pula kedua-dua perlawanan sebagai pasukan pelawat dan salah satunya lawan JDT. TFC agak susah sikit sebab jumpa KL dan berjumpa Kedah di Darul Aman agak susah sedikit.

“Saya pilih Negeri Sembilan. Kedua mungkin TFC akan ke AFC. Sabah untuk kedua-dua perlawanan akan susah sedikit,” katanya kepada Majoriti.

Tidak meletakkan Sabah FC sebagai pasukan pilihan, bekas pemain Pahang itu berasa prestasi The Rhinos yang turun naik menyukarkan untuk mengekalkan kemenangan mereka.

sabah fc

Perlawanan terakhir Sabah FC akan menentang JDT pada 15 Oktober 2022. — Facebook/Sabah FC

Terutamanya dengan Sabah FC hanya bermain sebagai pasukan pelawat pasti menganggu untuk memburu kemenangan.

“Saya baca begitu sebab bila di gelanggang lawan, peluang anda akan 50-50. Jadi bila 50-50 kekalahan lebih daripada menang. Saya ramal itu berdasarkan pengalaman saya.

“Sabah awal-awal memang hebat tapi sekarang mereka menurun. Kita tak boleh masa awal-awal musim masuk gear 4.

“Sabah perlawanan terakhir lawan JDT tapi jika JDT bagi peluang. Sabah ada chance nak menang. Ini boleh jadi faktor,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram