PERLAWANAN Liga Super antara Terengganu FC (TFC) menentang Melaka United (MU) menyaksikan Sang Penyu menang besar 5-0 dalam pertemuan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Terengganu pada Sabtu.
Semestinya kemenangan itu mendapat pujian penyokong, namun di sebalik itu juga, timbul kerisauan apabila penjaga gol mereka, Rahadiazli Rahalim terpaksa dikejarkan ke hospital ekoran bertembung dengan pemain gantian MU, Harith Naem Jaineh di dalam kotak penalti sewaktu permainan memasuki minit ke-46.
Namun, Penolong Pengurus TFC, Zulfadli Rozi sempat memaklumkan keadaan terkini pemain berusia 21 tahun itu menerusi media sosialnya.
Keadaan terkini Rahadiazli seperti yang dimaklumkan Zulfadli. — Twitter
"Alhamdulillah, Abey dah stabil. Baru lepas buat scan. Dah sedar dan boleh berkomunikasi dengan baik.
"Perkara pertama yang Abey tanya, kita menang dok tadi boh?
"Saya beritahu semain pemain beraksi untuk dia malam ini (Sabtu) dan kita menang. Apa pun, doktor masih memantau keadaannya," ciapnya di Twitter.
Dalam pada itu, rata-rata penyokong TFC mendoakan penjaga gol itu supaya lekas sembuh dan memuji semangat pemain itu terhadap pasukannya.
Rahadiazli dikejarkan ke hospital ekoran kecederaan yang dialami. — Facebook
Seorang penyokong Sang Penyu, Ziaf Muhamad berkata, dia rasa terharu dengan semangat ingin menang yang dipamerkan Rahadiazli.
"Lepas sedar, tanya menang ke tak. Diharapkan semangat ini kena ada dalam diri setiap pemain pada 10 September depan," katanya.
Turut mendoakan ialah Suhaizimuhamad yang berharap penyokong dapat turun memberi semangat kepada TFC menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang JDT.
"Alhamdulillah, semoga cepat sembut seperti sediakala. Semoga ALLAH memberi kekuatan kepada kita semua dan berjaya dalam perlawanan Piala FA nanti. Ayuh beri sokongan. Pantai Timur jom kita ke Bukit Jalil nanti," katanya.
TFC menang besar dalam perlawanan menentang Melaka United. — Bernama
"Semoga cepat sembuh untuk penjaga gol harap dapat beraksi dekat di final Piala FA. Mari sama-sama berdoa semoga kembali sembuh," Maziah Lalola.
Seorang lagi penyokong, Engku Umar memuji keberanian penjaga gol.
"Bola 50-50 pun dia berani selamatkan. Semoga dipermudahkan segala urusan. Sama-sama kita doakan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram