PENDUDUK di Kampung Jogoyudan, Jawa Timur, Indonesia dikejutkan dengan penemuan bayi lelaki di sebuah tandas di Masjid At-Taqwa,Lumajang, Indonesia pada Sabtu.
Bayi tersebut ditemukan oleh seorang penduduk bernama Satiyam di dalam tandas wanita kira-kira pukul 6 pagi (waktu tempatan).
Selepas membuka pintu tandas, Satiyam terkejut apabila melihat sekujur tubuh bayi dalam posisi ditelungkupkan berdekatan saluran air.
Wanita itu pada mulanya menyangka bayi itu sudah tidak bernyawa kerana tiada bunyi tangisan yang dikeluarkan.
“Rupa-rupanya mulut bayi itu disumbat dengan tisu. Selepas tisu dikeluarkan, barulah terdengar tangisan bayi itu.
“Saya terkejut melihat tali pusat masih melekat pada badan bayi itu dan darah juga masih ada,” katanya seperti dilaporkan Kompas.com.
Seorang bidan di Lumajang berkata, bayi itu sebenarnya belum cukup bulan untuk dilahirkan kerana berat badannya hanya 1.9 kilogram.
“Bayi juga mengalami hipotermia akibat ditinggalkan dalam bilik air dengan keadaan telanjang bulat.
“Bayi ini baru sahaja dilahirkan dan mungkin baru satu jam. Ini kerana, tali pusat masih baharu dan bayi berada dalam keadaan sejuk. Bayi itu masih boleh diselamatkan,” jelasnya.
Bayi itu kini dirawat di Hospital Lumajang Bhayangkara, Indonesia dan menerima bantuan mesin oksigen.
Dalam pada itu, Ketua Polis Lumajang, Andhi Indra Septa berkata, pihaknya masih berusaha mengesan ibu dan bapa bayi tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram