Badan saja kecil, pencuri bertudung 'pink' sorok minyak masak, sabun mandi termasuk coklat


  • Benua
  • Sabtu, 03 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang wanita ditangkap ketika mencuri di sebuah pasar raya di Pringsewu Lampung, Indonesia.

SEORANG wanita ditangkap mencuri dan gagal meloloskan diri apabila beg yang dibawanya digeledah oleh petugas di kaunter pembayaran baru-baru ini.

Kejadian itu yang berlaku di sebuah pasar raya mini Alfamart daerah Pringsewu Lampung, Indonesia, hangat diperkatakan di laman media apabila rakaman video kecurian itu tular.

Menerusi video yang dimuat naik akaun TikTok @xlnhamd, wanita bertudung merah jambu itu dilihat sedang disoal siasat oleh pengurus pasar raya berkenaan.

Difahamkan, antara barangan yang dicuri adalah coklat, minyak masak dan juga kelengkapan mandi.

Namun pihak pengurusan mengambil keputusan untuk tidak melaporkan insiden itu kepada pihak polis dan isu itu diselesaikan secara baik oleh kedua belah pihak.

"Kamu tidak akan dibawa ke balai polis namun rekod kesalahan mencuri akan tetap dicatatkan oleh kami, jadi sekiranya kamu masih lagi mencuri kami akan terus laporkan kepada polis," kata pengurus premis terbabit.

Ketika ditanya soal tujuan dan kerugian yang perlu ditanggung oleh pasar raya, mangsa kemudiannya tidak berhenti memohon maaf atas kesalahan dilakukan.

"Apa lagi kerugian yang perlu ditanggung kami, mengapa kamu mencuri di sini?" soalnya.

Soalan itu hanya dibalas dengan kata-kata maaf dari wanita tersebut yang dilihat insaf atas perbuatannya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen terkejut dengan jumlah barangan yang dicuri wanita tersebut.

Just Sovia berkata, wanita itu sememangnya berani kerana mencuri barang sebanyak itu.

"Macam mana caranya dia nak sorokkan barang itu semua, nak masuk dalam beg pun tak muat kerana terlampau banyak," katanya.

"Wanita itu nampak seperti sudah biasa mencuri kerana reaksi mukanya sangat tenang dan seperti tidak bersalah langsung," kata Aquarius.

"Pencuri itu masih beruntung kerana tidak dibawa ke balai polis, satu tindakan yang bagus diambil oleh pengurusnya," tambah Gintink Munthe. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram